KUALA LUMPUR 26 Mei - Penyedia perkhidmatan pengurusan dengan portfolio perniagaan yang pelbagai, Ho Wah Genting Bhd membatalkan rancangan untuk mengumpul RM4.01 juta menerusi penempatan persendirian melibatkan kurang 10% daripada jumlah saham terbitannya atau 20.55 juta saham baharu mereka.
Kumpulan itu memutuskan untuk membatalkan cadangan penempatan persendirian itu memandangkan resolusi itu tidak diluluskan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu yang diadakan baru-baru ini.
“Syarikat akan mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities untuk menarik balik cadangan penempatan saham persendirian tersebut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Ho Wah Genting sebelum ini, pada 22 April, telah mencadangkan untuk melaksanakan langkah korporat itu dengan tujuan menggunakan hasil penempatan tersebut bagi membayar balik pinjaman, melunaskan hutang pemiutang, dan sebagai modal kerja.
Saham Ho Wah Genting dibuka tidak berubah pada paras 22 sen hari ini, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM45.2 juta. - DagangNews.com








