KUALA LUMPUR 4 April - Anak syarikat Ho Hup Construction Company Bhd, Ho Hup Jaya Sdn Bhd akan menjual dua tingkat di Ho Hup Tower kepada pemegang saham utamanya, Insas Bhd, dengan harga RM13 juta.
Ho Hup berkata, hasil jualan itu akan digunakan untuk membayar pinjaman dan sebagai modal kerja umum.
Hartanah tersebut terletak di tingkat lima dan enam Ho Hup Tower di Plaza Bukit Jalil.
"Ia akan dijual kepada Premium Realty Sdn Bhd dan Sensecube Sdn Bhd, yang masing-masing merupakan anak syarikat milik penuh Insas," kata Ho Hup dalam satu kenyataan.
Hartanah berkenaan pada asalnya dibeli oleh Ho Hup Jaya pada 21 September 2016 daripada pemaju projek, Bukit Jalil Development Sdn Bhd.
Hak milik individu bagi hartanah tersebut masih belum dikeluarkan.
Jualan itu yang memerlukan persetujuan pemaju dalam masa empat bulan, akan menyebabkan kerugian sebanyak RM600,000.
Pengarah Eksekutif Ho Hup, Datuk Wong Gian Kui, yang juga Pengarah di Insas, Premium Realty dan Sensecube, tidak terlibat dalam sebarang perbincangan lembaga eksekutif kerana konflik kepentingan dalam transaksi pihak berkaitan tersebut.
Pemegang saham utama Insas, Datuk Seri Thong Kok Khee juga tidak terlibat dalam perbincangan dan pengundian mengenai transaksi berkenaan.
Jualan dijangka selesai pada suku ketiga 2025. - DagangNews.com








