HLIB positif terhadap prospek MN Holdings dipacu kerja-kerja pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB positif terhadap prospek MN Holdings dipacu kerja-kerja pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research positif terhadap prospek MN Holdings Bhd dipacu pendedahan kukuh dalam sektor berimpak tinggi seperti solar dan pusat data.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.74 sesaham.

 

Katanya, MN Holdings berada pada kedudukan yang baik sebagai proksi kepada peningkatan permintaan tenaga di Malaysia dan dijangka meraih manfaat daripada kitaran perbelanjaan modal Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang sedang meningkat.

 

Baru-baru ini, kumpulan itu menerusi, Mutu Nusantara Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM180 juta bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan sebuah pencawang untuk sebuah pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh seorang pelanggan yang terlibat dalam perkhidmatan infrastruktu, pemprosesan data dan aktiviti berkaitan.

 

HLIB berkata kemenangan kontrak terbaharu ini telah meningkatkan buku pesanan MNH ke paras tertinggi iaitu RM1.1 bilion, dengan jumlah kontrak yang dimenangi dalam tahun kewangan 2025 (FY25) kini mencecah RM1 bilion.

 

“Ia merupakan kontrak tunggal terbesar MN Holdings setakat ini. Difahamkan, kerja-kerja stesen pendaratan pengguna adalah sebahagian daripada projek pusat data oleh sebuah pengendali berpangkalan di Asia yang sedang menubuhkan kemudahan pertamanya di Malaysia.

 

“Pelaksanaan projek itu berjaya mengukuhkan rekod prestasi kumpulan dan meningkatkan peluangnya bagi mendapatkan kontrak tambahan daripada pengendali pusat data lain," katanya.

 

HLIB menaikkan unjuran pendapatan untuk MN Holdings masing-masing sebanyak 0.9%, 16% dan 0.7% bagi FY25, FY26 dan FY27, berdasarkan anggapan peningkatan kontrak kepada RM1.07 bilion bagi FY25, berbanding RM850 juta sebelum ini.

 

Ia juga menjangkakan lebih banyak kontrak pusat data akan diperoleh, dipacu pengembangan pelanggan sedia ada dan kemasukan pemain baharu ke pasaran Malaysia.

 

“Pihak pengurusan memaklumkan projek-projek akan datang bakal tertumpu di wilayah tengah, terutamanya daripada pengendali pusat data.

 

“Peralihan dari Johor ini akan memberi manfaat kepada segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah MN Holdings, kerana unit pengurusan projek di wilayah tengah biasanya terletak di lokasi yang kurang strategik, mengakibatkan laluan kabel yang lebih panjang dan nilai kontrak yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com