HLIB naikkan unjuran pendapatan UMediC pada FY26-FY27 sebanyak 11.5% dipacu jualan segmen pembuatan, pengedaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB naikkan unjuran pendapatan UMediC pada FY26-FY27 sebanyak 11.5% dipacu jualan segmen pembuatan, pengedaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menaikkan unjuran pendapatan UMediC Group Berhad bagi FY26-FY27 sebanyak 11.5% dipacu jualan lebih kukuh dalam segmen pembuatan dan pengedaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian pembuatan dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada 1QFY26, dipacu peningkatan tempahan daripada pelanggan sedia ada serta pengembangan ke pasaran baharu di Amerika Latin.

 

"Segmen pemasaran dan pengedaran pula dijangka mencatat pertumbuhan hasil antara 10% hingga 15% disokong oleh buku tempahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang semakin bertambah," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB berkata, bagi 4QFY25, segmen pembuatan merekodkan hasil sebanyak RM4.9 juta, naik 10.8% suku ke suku, dipacu jualan ke Sepanyol dan Itali serta permintaan produk pernafasan di Australia. 

 

Katanya, kapasiti pengeluaran HydroX dijangka meningkat kepada 1 juta botol sebulan menjelang Oktober 2025, namun hanya beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua FY26, sementara itu pengeluaran kekal pada 300,000 botol sebulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen pengedaran pula mencatat hasil RM7.4 juta pada 4QFY25, meningkat 2.4% suku ke suku, dipacu permintaan daripada penyedia penjagaan kesihatan swasta meskipun pesanan KKM kekal sederhana. 

 

"Untuk FY26, pengurusan menjangkakan pemulihan permintaan sektor awam, manakala pasaran swasta terus disokong oleh peluasan fasiliti baharu.

 

"Kumpulan menjangkakan margin keuntungan kasar sekitar 20% untuk kontrak baharu, lebih rendah berbanding margin 46% pada FY25, tetapi tetap mampu memacu pertumbuhan keuntungan mutlak sekiranya berjaya. 

 

"Bagaimanapun, garis masa anugerah tender masih tidak menentu, dengan kemungkinan surat hasrat dikeluarkan seawal suku kedua atau ketiga FY26," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran 40 sen sesaham.- DagangNews.com