KUALA LUMPUR 16 Julai – Hong Leong Investment Bank Research telah menaik taraf sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) tempatan kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’ didorong prestasi kukuh relatif serta penilaian menarik berbanding pasaran keseluruhan.
Firma penyelidikan itu menyenaraikan Sunway-REIT dan Axis-REIT sebagai pilihan utama dengan harga sasaran masing-masing RM2.31 dan RM2.18.
Dalam separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), Indeks KL-REIT mencatatkan kenaikan 3.7%, berbanding penurunan 6.6% bagi FBM KLCI, menunjukkan minat pelabur terhadap aset defensif.
HLIB berkata, antara pemangkin utama kepada REIT ialah penurunan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kepada bawah 3.5% daripada 3.8% pada Januari, hasil kemasukan pelaburan asing dan penurunan 25 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) pada 9 Julai lalu.
Firma itu turut menyesuaikan unjuran hasil MGS 10 tahun kepada 3.7% daripada 4% sebelum ini.
“Bagi segmen runcit, REIT diyakini akan terus menunjukkan ketahanan walaupun dengan tekanan bekalan baharu, terutamanya di Lembah Klang.
“Meskipun ruang runcit meningkat kepada 70.9 juta kaki persegi dan dijangka bertambah 3.6% lagi tahun ini, pusat beli-belah seperti Pavilion KL, Sunway Pyramid dan Suria KLCC kekal berdaya saing dengan kadar penghunian melebihi 90%,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Perdagangan runcit pula meningkat 6.8% dari Januari hingga April 2025, didorong oleh kenaikan gaji minimum, namun dijangka sedikit perlahan pada separuh kedua tahun ini akibat tekanan inflasi.
HLIB berkata, dalam segmen hospitaliti, Sunway-REIT dan KLCC mencatatkan kadar penginapan sekitar 54%–55% pada suku pertama tahun ini.
“Namun, pemulihan kukuh dijangka berlaku menjelang hujung tahun didorong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pengecualian visa bersama China.
“Pelancong dari China menyumbang 13% daripada jumlah ketibaan dan 20% daripada hasil pelancongan dengan purata perbelanjaan harian RM953, lebih tinggi berbanding RM770 oleh pelancong lain,” katanya.
Bagi ruang pejabat, pertumbuhan di Lembah Klang dilihat semakin stabil pada 0.7% tahun lalu, berbanding purata 2.1% bagi empat tahun sebelumnya.
HLIB melihat potensi daripada pelaburan ke dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah dengan menyebut IGB Commercial-REITsebagai pilihan utama dalam segmen pejabat kerana lokasinya yang strategik di MidValley City.
Firma itu turut menyokong strategi kepelbagaian aset REIT, seperti Pavilion-REIT yang mempertimbang pelaburan hotel, Sentral-REIT yang menambah aset runcit, dan Hektar-REIT yang melabur dalam sektor industri serta tenaga solar.
Sunway-REIT dan Axis-REIT masing-masing mempunyai 35% dan 20% pendedahan kepada aset bukan teras, menunjukkan arah aliran pelaburan lebih meluas dalam sektor ini.
Mengenai impak pelaksanaan SST lapan peratus terhadap hasil sewaan melebihi RM1 juta pula, HLIB menjangka kesan segera adalah minimum kerana kos tambahan akan diserap oleh penyewa, namun ia mungkin memberi tekanan kepada semakan kadar sewa pada masa hadapan. - DagangNews.com








