HLIB kekalkan saranan 'hold' IGB REIT, fokus pertumbuhan organik selepas pengambilalihan Mid Valley Southkey | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB kekalkan saranan 'hold' IGB REIT, fokus pertumbuhan organik selepas pengambilalihan Mid Valley Southkey

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Dis - IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) dijangka tidak banyak mendapat manfaat daripada pengurangan kos pinjaman kerana semua hutangnya menggunakan kadar faedah tetap, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Dalam nota penyelidikannya, HLIB berkata kira-kira 15% hingga 20% hasil IGB REIT bersifat berubah-ubah, terutamanya daripada komponen perkongsian keuntungan, sekali gus menjadikan prestasi portfolio lebih sensitif terhadap perubahan sentimen pengguna.

 

“Sehubungan itu, HLIB percaya prospek IGB REIT disokong oleh langkah dasar yang memacu perbelanjaan isi rumah, termasuk kredit MyKasih RM100 serta penurunan harga pam RON95.

 

 

 

 

 

“Langkah-langkah ini dijangka menyokong aliran trafik runcit dan jualan penyewa, sekali gus menyediakan penampan terhadap ketidaktentuan makro dan mengekalkan momentum pendapatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

 

HLIB menyambung liputan ke atas IGB REIT dengan saranan “hold” dan harga sasaran RM2.57, berdasarkan hasil sasaran FY26 sebanyak 5%.

 

Firma itu turut memperkenalkan unjuran keuntungan teras bagi FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak RM413.2 juta, RM556.6 juta dan RM583.5 juta.

 

“Walaupun prospek keseluruhan kekal konstruktif, disokong oleh kenaikan sewaan yang stabil serta sumbangan tambahan daripada portfolio Southkey, syarikat berpendapat penilaian semasa sudah mencerminkan sebahagian besar potensi kenaikan dalam jangka terdekat, justeru menghalang syarikat daripada mengambil pendirian lebih optimistik,” katanya.

 

Sementara itu, HLIB memaklumkan suntikan Mid Valley Southkey Mall (MVS) ke dalam IGB REIT telah selesai pada 21 Nov 2025, sekali gus memperluas saiz portfolio amanah pelaburan hartanah itu.

 

Pengambilalihan bernilai RM2.65 bilion, yang dibiayai melalui RM1 bilion hutang dan RM1.65 bilion ekuiti, meningkatkan nilai aset keseluruhan sebanyak 46.3% serta menaikkan nisbah penggearan kepada 26.3%.

 

Menurutnya, MVS kini mencatatkan kadar penghunian 99.97%, mencerminkan permintaan penyewa yang kukuh, manakala yuran pengurusan sekali sahaja berjumlah RM30 juta dikecualikan daripada pendapatan FY25.

 

HLIB berkata pusat beli-belah itu juga berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada trafik rentas sempadan Malaysia-Singapura, berikutan akses langsung melalui Lebuh Raya EDL ke kompleks CIQ.

 

Selepas pengambilalihan itu, pengurusan memaklumkan bahawa tiada aset runcit lain dalam perancangan penaja buat masa ini, namun kekal terbuka kepada peluang yang berpotensi menambah nilai.

 

Dengan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75% sejak Julai 2025 dan penggearan yang sederhana pada 26.3%. 

 

HLIB berkata IGB REIT masih mempunyai ruang untuk meneroka pengambilalihan baharu sekiranya aset yang sesuai muncul.

 

 

 

 

 

 

 

Namun, dengan unjuran hasil pendapatan bersih hartanah (NPI) FY26 pada 8.8%, firma itu berpandangan mendapatkan aset luaran yang memenuhi ambang tersebut sambil menambah nilai mungkin mencabar.

 

“Sehubungan itu, IGB REIT dijangka memberi tumpuan terutamanya kepada pertumbuhan organik dalam masa terdekat,” katanya.  - DagangNews.com