Hisham Hamdan, Amran Hafiz dari UEM Group kini sebahagian daripada lembaga pengarah baharu MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hisham Hamdan, Amran Hafiz dari UEM Group kini sebahagian daripada lembaga pengarah baharu MAHB

Datuk Hisham Hamdan (kiri) bersama Datuk Amran Hafiz Affifudin daripada UEM Group dilantik sebagai lembaga pengarah baharu MAHB bagi mewakili Khazanah Nasional Berhad selepas pegendali lapangan terbang itu diswastakan awal tahun ini.

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pengerusi UEM Group Berhad, Datuk Hisham Hamdan baru-baru ini menyertai Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai wakil Khazanah Nasional Berhad, susulan penswastaan pengendali lapangan terbang itu awal tahun ini, menurut sumber.

 

Hisham, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pelaburan di Khazanah, menyertai lembaga MAHB yang telah disusun semula bersama Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin.

 

Hisham membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam pengurusan portfolio, konglomerat dan unit perniagaan, manakala Amran sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Khazanah dan Ketua Pelaburan Malaysia serta pernah menjadi ahli lembaga MAHB dari September 2023 sehingga syarikat itu dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia.

 

Ketua Pengurusan Modal Insan Strategik Khazanah, Shahrizal Mohd Suffian turut menyertai lembaga tersebut, menjadikan jumlah wakil Khazanah dalam MAHB sebanyak tiga orang, lapor The Edge.

 

Pelantikan itu dibuat susulan pengambilalihan MAHB bernilai RM12.3 bilion oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) — konsortium yang diterajui oleh Khazanah melalui UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

Konsortium itu turut melibatkan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York. Pengambilalihan tersebut menilai MAHB pada harga RM11 sesaham.

 

Lembaga Pengarah MAHB yang telah distruktur semula kini terdiri daripada 11 ahli, dengan tujuh daripadanya dilantik oleh Gateway Development Alliance (GDA). 

 

Lembaga itu turut menampilkan Pengerusi, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan, Datuk Mohd Izani Ghani, seorang wakil masing-masing daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan, serta dua wakil daripada KWSP dan dua lagi daripada Global Infrastructure Partners (GIP).

 

Sebelum penswastaan, lembaga pengarah MAHB juga terdiri daripada 11 ahli, termasuk seorang pengarah ganti.

 

Menurut sumber, KWSP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn dan Ketua Pegawai Pelaburan Rohaya Mohammad Yusof.

 

GIP pula diwakili Timbalan Pengerusi dan rakan pengasas Michael McGhee serta Philip Marc Iley, seorang rakan kongsi dan Ketua Global Pelaburan Pengangkutan firma itu, tambah sumber berkenaan.

 

McGhee, seorang veteran dalam sektor pengangkutan, telah mengetuai pengambilalihan Lapangan Terbang Gatwick bernilai £1.5 bilion (RM5.7 bilion) oleh GIP pada tahun 2009 serta pembelian Lapangan Terbang London City pada tahun 2006. 

 

Kini, GIP mengendalikan lapangan terbang melalui pelaburannya dalam Lapangan Terbang Gatwick, London City, Edinburgh dan Sydney.

 

Menurut laman web GIP, McGhee bersama firma pelaburan infrastruktur antarabangsa itu sejak ia ditubuhkan pada 2006 dan mengetuai pasukan pelaburan pengangkutan merangkumi lapangan terbang, pelabuhan dan rel kargo. Beliau berpusat di London.

 

Sebelum menyertai GIP, McGhee merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Global Bahagian Pengangkutan dan Logistik dalam bahagian perbankan pelaburan di Credit Suisse dari 1998 hingga 2006. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pengangkutan di BZW, yang ketika itu merupakan bahagian perbankan pelaburan Barclays Bank plc, dari tahun 1990 hingga 1998.

 

Iley, yang juga berpangkalan di London, merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat portfolio pengangkutan GIP, termasuk VTG Rail, Peel Ports Group Ltd dan Italo. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Lapangan Terbang Gatwick dan Signature Aviation Ltd.

 

Iley menyertai GIP pada tahun 2016 selepas berkhidmat di Credit Suisse dan Barclays, dengan pengalaman dua dekad dalam urus niaga penggabungan dan pengambilalihan (M&A), tawaran awam permulaan (IPO), dan penswastaan melibatkan lapangan terbang, pelabuhan, rel dan lebuh raya bertol.

 

Susulan penswastaan MAHB, Khazanah dan KWSP kini memegang 70% kepentingan dalam syarikat itu, manakala ADIA dan GIP memiliki baki 30%. 

 

Kerajaan Malaysia masih mengekalkan pegangan "saham emas" melalui MoF Inc. MAHB kini mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, Turkiye.

 

Lembaga pengarah yang telah distruktur semula itu telah mula bermesyuarat sejak Mac lalu dengan matlamat untuk memacu transformasi MAHB di bawah pemilikan swasta.

 

Pada masa lalu, MAHB pernah dikritik kerana lambat membuat keputusan. Antara contoh melibatkan keputusan menggantikan sistem aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang telah beroperasi selama 27 tahun. Selepas lebih dua tahun kerja menaik taraf bernilai RM456 juta, perkhidmatan aerotrain akhirnya disambung semula pada 1 Julai.

 

Dalam satu temu bual bersama The Edge Malaysia pada bulan Mei, Nungsari menyatakan, kelewatan seperti itu berpunca daripada perubahan kerap dalam barisan pengurusan tertinggi dan komposisi lembaga pengarah, yang telah menjejaskan tadbir urus dan kelangsungan operasi. Sepanjang dekad lalu, MAHB telah mempunyai lima Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan dan empat Pengerusi.

 

Mengulas mengenai kelajuan proses membuat keputusan selepas penswastaan, Mohd Izani berkata dalam satu taklimat media pada 18 Julai lalu: “Ya, saya berharap begitu (keputusan akan lebih pantas) sekarang kami adalah syarikat swasta. Itu juga sebab kami mengambil keputusan untuk memprivasikan MAHB — bagi membolehkan pelaksanaan rancangan strategik kami yang lebih berkesan."- DagangNews.com