KUALA LUMPUR 22 Ogos - Hibiscus Petroleum Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited memeterai perjanjian utama (HOA) dengan PetroVietnam Exploration Production Corporation Ltd (PVEP) bagi mengintegrasikan pengeluaran dari Blok 46/13, Vietnam ke dalam kemudahan sedia ada.
Kumpulan itu berkata, perjanjian itu adalah di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (PM3 CAA PSC).
Katanya, perjanjian ini menetapkan syarat bagi kerja-kerja kejuruteraan dan pembinaan sambungan kemudahan, serta pengurusan produk, yang membolehkan hasil pengeluaran dari Blok 46/13 diproses menggunakan infrastruktur PM3 CAA sedia ada.
"Perjanjian ini bertujuan mengoptimumkan kapasiti lebihan di PM3 CAA sambil mewujudkan rangka kerja komersial untuk pengendalian pengeluaran dan pengagihan kos.
"Perjanjian penuh tertakluk kepada kelulusan daripada PETRONAS dan Vietnam National Industry - Energy Group (PETROVIETNAM)," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu menyokong strategi jangka panjang Strategi Hab Utama PM3 CAA yang diterajui Hibiscus Petroleum bersama rakan kongsi strategiknya PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan PVEP, dalam usaha memanjangkan hayat ekonomi PM3 CAA melalui perkongsian kos dan pengoptimuman infrastruktur bersama.
Langkah itu juga mengukuhkan kerjasama rentas sempadan antara Malaysia dan Vietnam, mencerminkan hubungan tenaga serantau yang semakin erat di bawah bimbingan PETRONAS dan PETROVIETNAM.
Hibiscus Petroleum berkata, bahawa kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat memaksimumkan nilai daripada aset dan kemudahan sedia ada, sambil menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau. - DagangNews.com








