HI Mobility terima kontrak RM135 juta daripada APAD sedia perkhidmatan bas di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility terima kontrak RM135 juta daripada APAD sedia perkhidmatan bas di Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - HI Mobility Berhad menerusi Handal Indah Sdn Bhd menerima kontrak RM134.94 juta bagi menyediakan perkhidmatan bas dalam bandar di Johor Baharu dan kawasan sekitarnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan itu adalah selaras dengan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat (SBST) yang dianugerahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

 

"Projek ini adalah untuk tempoh dua tahun, bermula dari 31 Mac 2025 hingga 30 Mac 2027. Kontrak itu bagaimanapun tidak boleh diperbaharui," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, projek itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat dan Handal Indah sepanjang tempoh perkhidmatannya.

 

Projek itu adalah perniagaan biasa dan dijangka tidak mendedahkan kumpulan itu kepada sebarang risiko baharu, kerana ia sudah terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bas.

 

"Kumpulan itu akan melaksanakan semua usaha yang perlu bagi mengurangkan pelbagai faktor risiko yang dikenal pasti kerana ia mempunyai rekod prestasi dan kepakaran bagi melaksanakan projek," katanya.- DagangNews.com