HI Mobility dapat lanjutan kontrak sembilan bulan bagi perkhidmatan bas percuma di Johor bernilai RM8.16 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility dapat lanjutan kontrak sembilan bulan bagi perkhidmatan bas percuma di Johor bernilai RM8.16 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei - HI Mobility Bhd memperoleh lanjutan kontrak selama sembilan bulan bernilai RM8.16 juta bagi perkhidmatan percuma "Bas Muafakat Johor" menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn. Bhd.

 

Kontrak yang bermula dari 1 April hingga 31 Disember 2025 itu dianugerahkan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), dengan surat anugerah diterima pada 29 April lalu.

 

 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lanjutan kontrak syarikat itu dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan semasa.

 

Syarikat itu satu-satunya pengendali bas Malaysia yang mengendalikan perkhidmatan rentas sempadan Johor Bahru–Singapura, di bawah jenama Causeway Link, dengan 683 bas termasuk 53 kenderaan elektrik merangkumi 124 laluan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY25), syarikat mencatat keuntungan bersih RM43.76 juta, manakala 94.2% daripada jumlah hasil RM279.82 juta disumbang oleh perkhidmatan bas berjadual.

 

Buku pesanan belum dibil HI Mobility berjumlah RM174.6 juta, dengan 43.7% dijangka direalisasikan pada FY26 dan 32.5% pada FY27.- DagangNews.com