HI Mobility berpotensi raih manfaat besar daripada ledakan pembangunan Johor, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility berpotensi raih manfaat besar daripada ledakan pembangunan Johor, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - HI Mobility Bhd berpotensi meraih manfaat besar daripada ledakan pembangunan di Johor sekali gus menyokong pendapatannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas kumpulan itu dengan sasaran "beli" pada harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham. 

 

Ia juga merupakan liputan pertama institusi penyelidikan terhadap pengendali bas tersebut sejak disenaraikan pada penghujung Mac lalu. 

 

“HI Mobility merupakan proksi yang jarang ditemui di koridor Johor-Singapura yang sedang pesat membangun, disokong operasi rentas sempadan yang dominan serta penjajaran kukuh dengan aspirasi pengangkutan awam negara,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Harga saham HI Mobility melonjak kira-kira 38% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO), menjadikannya penyenaraian pasaran utama berprestasi terbaik tahun ini. 

 

Syarikat itu juga merupakan antara yang berjaya mencatatkan keuntungan sejak penyenaraiannya ke dalam pasaran yang terjejas oleh ketidaktentuan tarif global.

 

Sementara itu, Johor telah menyaksikan lonjakan pembangunan besar melalui projek-projek seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Syarikat itu merupakan satu-satunya pengendali bas Malaysia yang menyediakan perkhidmatan rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, merentasi salah satu laluan sempadan darat paling sibuk di dunia. 

 

Beroperasi di bawah jenama Causeway Link, HI Mobility mengendalikan lebih daripada 700 bas, di mana 53 daripadanya adalah bas elektrik.

 

Projek RTS yang bakal siap dijangka menyumbang sehingga RM177 juta dalam potensi hasil tahunan kepada HI Mobility melalui perkhidmatan pengantara pada tahun kewangan 2028 (FY28), yang mana angka itu belum lagi dimasukkan dalam unjuran CIMB Securities.

 

Bagi tahun kewangan semasa berakhir Januari 2026 (FY26), HI Mobility dijangka mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 11% kepada RM50 juta sebelum meningkat kepada RM61.2 juta pada FY27 dan RM73.3 juta pada FY28. 

 

Ini bermakna purata pertumbuhan tahunan keuntungan selama tiga tahun adalah sebanyak 17.6%.

 

“Kehadiran HI Mobility di Johor meletakkannya dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan jumlah penumpang dan keperluan mobiliti perbatuan akhir yang semakin berkembang,” kata firma penyelidikan itu.

 

Dari segi penilaian, harga sasaran CIMB Securities untuk HI Mobility adalah 17 kali ganda pendapatan hadapan, iaitu premium 10% berbanding purata tiga tahun sektor pengangkutan awam. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, tiada rakan setara tersenarai secara langsung di Malaysia, terutamanya dalam segmen perkhidmatan bas rentas sempadan yang merangkumi kira-kira 60% daripada hasil syarikat.- DagangNews.com