Hextar Global beli tiga syarikat baja bernilai RM120 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Global beli tiga syarikat baja bernilai RM120 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 Dis – Hextar Global Bhd memeterai perjanjian untuk membeli tiga syarikat berkaitan baja pada nilai keseluruhan RM120 juta menerusi transaksi tunai pihak berkaitan.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat agro-kimia itu berkata cadangan pengambilalihan berkenaan dijangka mewujudkan sinergi operasi dan komersial dengan perniagaan pertanian sedia ada kumpulan.

 

“Cadangan pengambilalihan ini dijangka melengkapi rangkaian produk sedia ada kumpulan dan membolehkan Hextar menawarkan rumusan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pelanggan melalui rangkaian produk yang lebih luas merangkumi agro-kimia dan baja,” katanya.

 

Di bawah cadangan tersebut, Hextar akan memperoleh keseluruhan pegangan dalam PK Fert Sdn Bhd (PKFT) daripada anak syarikatnya yang 52.4% dimiliki, Hextar Industries Bhd (HIB) pada harga RM3.3 juta.

 

Sementara itu, pengambilalihan PK Fertilizers Sdn Bhd dan Hextar Fert Sdn Bhd (HFT) daripada anak syarikat milik penuh HIB iaitu Hextar Fertiliser Group Sdn Bhd bernilai RM116.7 juta.

 

PKF dan HFT terlibat dalam pembuatan serta perdagangan pelbagai jenis baja manakala PKFT berperanan dalam pemasaran dan pengedaran baja serta bertindak sebagai pusat perolehan bagi PKF.

 

Dari segi struktur pegangan saham, Datuk Ong Choo Meng dan bapanya Datuk Ong Soon Ho merupakan pemegang saham besar dalam Hextar dan HIB. 

 

Kedua-duanya memegang 52.4% kepentingan dalam HIB melalui Hextar Holdings Sdn Bhd. 

 

Dalam Hextar pula, Soon Ho memiliki kepentingan tidak langsung sebanyak 54.09% melalui Hextar Holdings manakala Choo Meng memegang kepentingan langsung 2.14% serta pegangan tidak langsung 51.95% setakat 10 Dis.

 

Menurut Hextar Global, cadangan pengambilalihan ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Langkah strategik itu juga akan menyaksikan kumpulan mempelbagaikan perniagaannya ke dalam segmen pembuatan dan perdagangan baja, yang dijangka menyumbang 25% atau lebih kepada keuntungan bersih masa depan kumpulan.

 

“Cadangan ini merupakan peluasan strategik platform pertanian Hextar dengan memasukkan perniagaan baja sebagai barisan perniagaan baharu bagi melengkapi operasi agro-kimia sedia ada.

 

“Baja dan agro-kimia menyasarkan pangkalan pelanggan yang sama dan pengambilalihan ini dijangka mewujudkan sinergi dari segi jangkauan pelanggan, pengedaran serta kecekapan operasi,” katanya.

 

Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham bukan berkepentingan pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan, cadangan tersebut dijangka selesai pada separuh pertama 2026. - DagangNews.com