KUALA LUMPUR 16 Mei - Hextar Capital Bhd memperoleh kontrak RM427.5 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membina pencawang masuk utama (PMU) 500/275kV bertebat gas (GIS) di Gurun Timur, Kedah.
Kontrak itu dijadual siap dalam tempoh 730 hari dari tarikh permulaan.
Hextar Capital berkata, Transgrid Ventures Sdn Bhd hasil usaha sama dengan CD Electrical Engineering Sdn Bhd akan membekal, memasang, dan menguji GIS tersebut termasuk semua sistem primer dan sekunder serta kerja-kerja awam berkaitan.
Pengarah Urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata, projek itu merupakan pencapaian strategik bagi transgrid dan mengukuhkan keupayaannya dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar dan kritikal dalam sektor tenaga.
"Ia juga mencerminkan keyakinan TNB terhadap keupayaan kejuruteraan kami serta mengukuhkan lagi peranan kami dalam menyokong pembangunan grid nasional dan tenaga negara.
"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi jangka sederhana kumpulan dan keterlihatan buku pesanan.
"Ia merupakan projek GIS 500kV pertama di Malaysia dan Transgrid berbangga diberi kepercayaan oleh TNB untuk mereka bentuk dan membina projek sulung ini," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Transgrid, Datuk Sri Nantha berkata, ia merupakan satu pencapaian penting yang mengesahkan keupayaan dan rekod prestasi syarikat dalam infrastruktur pencawang voltan tinggi.








