HeiTech Padu terima surat anugerah daripada KKM naik taraf ICT bernilai RM17.6 juta di Hospital Miri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HeiTech Padu terima surat anugerah daripada KKM naik taraf ICT bernilai RM17.6 juta di Hospital Miri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis – HeiTech Padu Berhad menerima surat anugerah (LOA) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tender perkhidmatan menaik taraf peralatan ICT dan rangkaian bernilai RM17.6 juta di Hospital Miri, Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HeiTech Padu berkata kontrak tersebut merangkumi perkhidmatan mengkaji, merancang, mereka bentuk, membekal, menghantar, memasang, mengkofigurasi, menguji serta mentauliah guna peralatan ICT di hospital berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Kontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham HeiTech.

 

“Tempoh kontrak ditetapkan selama 24 bulan, bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028, sepanjang tempoh tersebut HeiTech akan melaksanakan semua kerja yang tertakluk kepada kontrak,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut pengurusan HeiTech, kontrak ini adalah sejajar dengan kepentingan syarikat dan dilihat sebagai sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa. 

 

Ia dijangka memberi kesan positif terhadap prestasi kewangan syarikat dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya.

 

Risiko yang terlibat adalah risiko biasa yang dihadapi oleh syarikat dalam projek seumpama ini. 

 

HeiTech menegaskan bahawa langkah-langkah pencegahan dan mitigasi telah diambil untuk mengurangkan sebarang risiko sepanjang pelaksanaan kontrak.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkait rapat dengan pengarah dan pemegang saham utama HeiTech mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.

 

 

 

 

 

 

 

Lembaga pengarah HeiTech berpendapat pelaksanaan kontrak ini adalah dalam kelangsungan perniagaan syarikat dan selaras dengan kepentingan terbaik syarikat serta pemegang saham.

 

Kontrak ini menandakan langkah penting HeiTech dalam memperkukuh kehadiran syarikat dalam sektor penyediaan perkhidmatan ICT bagi institusi kesihatan awam di Malaysia.- DagangNews.com