HeiTech Padu jalin kerjasama strategik AI bersama Huawei, MyEG dan syarikat Hong Kong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HeiTech Padu jalin kerjasama strategik AI bersama Huawei, MyEG dan syarikat Hong Kong

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 April - HeiTech Padu Bhd menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama strategik dalam perkhidmatan awan kuasa pengkomputeran kecerdasan buatan (AI).

 

Perjanjian pertama dimeterai bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan MyEG Services Bhd, bagi membangunkan perkhidmatan kerajaan pintar yang menggunakan teknologi awan dan AI.

 

HeiTech Padu berkata, di bawah MoU itu, HeiTech Padu dan MyEG akan menyediakan senario permintaan aplikasi, manakala Huawei akan membekalkan platform AI dan rumusan teknologi bagi menyokong HeiTech secara tidak eksklusif.

 

Ketiga-tiga pihak juga bercadang untuk menandatangani kontrak rasmi, di mana Huawei akan menjadi rakan teknologi dan HeiTech Padu pula akan bertindak sebagai rakan industri, bergantung kepada persetujuan bersama terma kerjasama.

 

"MoU tersebut berkuat kuasa serta-merta dan akan berjalan selama setahun," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, bagi perjanjian kedua pula, syarikat merancang membentuk kerjasama strategik dalam perkhidmatan awan AI bersama syarikat tersenarai di Hong Kong, Maiyue Technology Ltd (MTL).

 

Kerjasama berkenaan bertujuan membina pusat kuasa pengkomputeran AI yang mampu menyediakan perkhidmatan pengkomputeran berprestasi tinggi kepada pelanggan industri dan pengguna individu melalui rangkaian dan perisian canggih.

 

Dalam usaha itu, HeiTech Padu dan MTL akan berunding mengenai bentuk kerjasama, skala pelaburan awal, kaedah agihan keuntungan, serta hak dan tanggungjawab masing-masing.

 

"MoU ini menandakan permulaan kerjasama strategik untuk mencapai matlamat bersama dengan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak bagi memperkukuh daya saing dalam sektor ekonomi digital.

 

"Kesepakatan ini menyokong kerjasama yang lebih teratur dan saling menguntungkan," ujarnya. - DagangNews.com