HDC bekerjasama dengan Muslim Friendly Watch percepat pertumbuhan pasaran halal Malaysia dan China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HDC bekerjasama dengan Muslim Friendly Watch percepat pertumbuhan pasaran halal Malaysia dan China

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 Mei — Halal Development Corporation Berhad (HDC) memeterai kerjasama strategik dengan Muslim Friendly Watch (MFW) bagi mempercepatkan pertumbuhan pasaran halal antara Malaysia dan China, dengan nilai dagangan berjumlah RM7.04 bilion pada 2024.

 

Kerjasama itu bertujuan memperluas pensijilan halal Malaysia dalam kalangan syarikat China, sejajar permintaan tinggi daripada lebih 20 juta penduduk Muslim dan pengguna bukan Muslim di negara tersebut.

 

Gabungan panduan mesra Muslim oleh MFW dan kepakaran teknikal HDC dijangka membantu firma China mematuhi piawaian halal Malaysia yang diiktiraf global, ketika negara itu merangka sistem pensijilan halalnya sendiri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama itu akan memperkukuh hubungan perniagaan halal antara Malaysia dan China dan membuka akses lebih luas ke pasaran menerusi platform digital.

 

Inisiatif itu turut membuka laluan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menembusi pasaran halal China menerusi e-dagang, dengan sokongan pembiayaan, padanan perniagaan B2B dan B2C serta ekosistem digital yang menyeluruh.

 

Kedua-dua pihak akan melaksanakan Sistem Pilihan Muslim (Muslim Choice System), selain libat urus industri dan program kesedaran bagi memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju halal global.

 

Presiden MFW, Noorman Kamsani berkata, kerjasama itu membolehkan lebih banyak perniagaan beralih kepada pensijilan halal dengan lebih yakin, disokong oleh kerangka kerja yang memenuhi jangkaan pengguna dan standard industri.

 

Kerjasama tersebut berkuat kuasa serta-merta dan merupakan sebahagian daripada usaha diplomasi halal Malaysia di pasaran antarabangsa yang strategik.- DagangNews.com