Hasil VisDynamics meningkat 153% kepada RM20.47 juta bagi FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil VisDynamics meningkat 153% kepada RM20.47 juta bagi FY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis – VisDynamics Holdings Berhad mencatat pemulihan dalam prestasi kewangan pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2025 (4QFY26) apabila kembali merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM672,000 berbanding kerugian RM2.96 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya didorong lonjakan jualan mesin.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pendapatan kumpulan melonjak kepada RM8.12 juta berbanding RM3.34 juta pada suku keempat FY2024, peningkatan sebanyak 143%. 

 

“Keuntungan sebelum cukai pula ialah RM1.10 juta, agak baik berbanding kerugian RM2.78 juta setahun lalu.

 

“Secara kumulatif bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Oktober 2025, VisDynamics mencatatkan pendapatan RM20.47 juta, meningkat 153% berbanding RM8.10 juta pada tahun kewangan sebelumnya, hasil peningkatan ketara jualan mesin automasi ujian.

 

“Walaupun pendapatan meningkat, kumpulan masih merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.73 juta bagi FY2025, namun ia jauh lebih rendah berbanding kerugian RM7.45 juta yang dicatatkan pada FY2024,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kerugian selepas cukai turut mengecil kepada RM2.13 juta daripada RM7.71 juta sebelum ini.

 

Syarikat itu berkata prestasi yang lebih baik pada suku keempat mencerminkan pemulihan permintaan pelanggan serta peningkatan tempahan dalam sektor semikonduktor dan elektronik.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan berkurang kepada RM59.40 juta setakat 31 Oktober 2025 berbanding RM63.68 juta setahun lalu. 

 

Penurunan ini sebahagiannya disumbang oleh pengurangan aset semasa, khususnya tunai dan baki bank.

 

Bagaimanapun, aset bukan semasa meningkat kepada RM20.81 juta daripada RM17.51 juta, didorong perbelanjaan modal bagi pembinaan kilang baharu, dengan nilai hartanah, loji dan peralatan meningkat kepada RM17.11 juta.

 

Inventori menurun kepada RM16.68 juta berbanding RM18.41 juta pada tahun sebelumnya, selari dengan peningkatan jualan mesin sepanjang tempoh tersebut.

 

Jumlah ekuiti kumpulan susut kepada RM53.31 juta daripada RM57.89 juta, terutamanya susulan kerugian bersih tahun semasa, pembayaran dividen serta pembelian balik saham perbendaharaan berjumlah RM1.15 juta.

 

Dari segi aliran tunai, tunai dan setara tunai berkurang kepada RM13.70 juta setakat akhir Oktober 2025 daripada RM18.75 juta setahun lalu, terutamanya akibat bayaran kemajuan kepada kontraktor bagi pembinaan kilang baharu serta pembelian saham perbendaharaan.

 

Mengikut pecahan pasaran, jualan ke Amerika Utara dan Asia Utara menyumbang bahagian terbesar pendapatan, dengan pasaran Asia Utara mencatatkan hasil RM16.24 juta berbanding RM7.56 juta pada tahun sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, VisDynamics berpandangan prospek industri semikonduktor bagi 2026 kekal positif, disokong permintaan kukuh terhadap cip kecerdasan buatan, pembinaan pusat data yang berterusan serta pemulihan pasaran global. - DagangNews.com