Hasil sektor perladangan diramal naik dipacu perkembangan purata harga minyak sawit mentah - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil sektor perladangan diramal naik dipacu perkembangan purata harga minyak sawit mentah - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - Hasil bagi sektor perladangan diramal terus meningkat pada separuh pertama 2025 dipacu peningkatan purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, kata MIDF Research.

 

Bagaimanapun, katanya, margin berkemungkinan kekal di bawah tekanan disebabkan peningkatan kos pengeluaran termasuk baja yang dibeli pada harga lebih tinggi pada separuh kedua 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan perbelanjaan buah tandan segar (BTS) yang tinggi dari luar dan kadar pengguna kilang yang rendah. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan hanya segelintir pengeluar menerima manfaat daripada kenaikan harga MSM.

 

"Kami mencadangkan untuk mengelak pengeluar lebih kecil dengan pendedahan ketara kepada pembelian BTS daripada pihak luar kerana ia membahayakan pengeluaran MSM mereka terutamanya semasa persekitaran rehat pokok semasa.

 

"Kami juga mencadangkan untuk memberi tumpuan kepada syarikat besar seperti IOI Corporation Bhd, SD Guthrie dan Genting Plantations Bhd yang mempunyai perolehan MSM melebihi 50% dari ladang mereka sendri yang menawarkan kestabilan harga," katanya dalam satu nota kajian.

 

Memandang ke hadapan, MIDF Research berpendapat, keadaan rehat pokok dan pemulihan pengeluaran yang lebih perlahan dijangka berterusan dengan pengeluaran tempatan hanya berkembang sebanyak 1% kepada 19.5 juta tan metrik ada tahun ini.

 

Katanya, cuaca basah sehingga April dilihat bakal menjejaskan 75% daripada produktiviti tanaman pada suku kedua tahun ini.

 

"Ini boleh menjadikan purata harga dagangan MSM tinggi sepanjang tempoh itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu. - DagangNews.com