Hasil Poh Kong pada 3QFY25 meningkat kepada RM533.9 juta disokong lonjakan harga emas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Poh Kong pada 3QFY25 meningkat kepada RM533.9 juta disokong lonjakan harga emas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Hasil Poh Kong Holdings Bhd pada suku ketiga berakhir 30 April 2025 (3QFY25) meningkat kepada RM533.9 juta berbanding RM519.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong lonjakan harga emas.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih pada suku berkenaan bagaimanapun menyusut sedikit kepada RM47.60 juta berbanding RM47.64 juta pada 3QFY24. 

 

"Aliran menaik keseluruhan dalam harga emas telah meningkatkan keuntungan operasi kumpulan pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

Sementara itu untung bersih bagi sembilan bulan berakhir 30 April 2025 (3QFY25) meningkat kepada RM98.5 juta berbanding RM94.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong peningkatan hasil kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.29 bilion pada 3QFY24.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, semasa gangguan ekonomi akibat tarif, permintaan terhadap emas kebiasaannya meningkat dengan pelabur mencari perlindungan daripada inflasi dan ketidakstabilan pasaran.

 

Katanya, pelabur juga akan memanfaatkan logam bernilai tinggi itu sebagai aset selamat.

 

"Ketegangan perdagangan global yang berlaku kini mengganggu corak pengeluaran dan perdagangan di seluruh dunia dan kumpulan akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa terhadap operasi serta menilai prestasi secara berterusan," katanya.

 

Ahli lembaga pengarah yakin,  kumpulan itu telah melaksanakan langkah yang mencukupi untuk berdepan cabaran bagi berdepan cabaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25). - DagangNews.com