Hasil PGF Capital pada FY27 berpotensi melonjak sehingga 62.6% dipacu permintaan produk penebat - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil PGF Capital pada FY27 berpotensi melonjak sehingga 62.6% dipacu permintaan produk penebat - Mercury Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Mercury Securities meramalkan pertumbuhan hasil PGF Capital Capital Berhad melonjak antara 24.3% hingga 62.6% bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26) dan 2027 (FY27) dipacu peningkatan permintaan bagi produk penebat.

 

Katanya, kumpulan itu juga merupakan penerima manfaat daripada pengukuhan mata wang dolar Australia dan New Zealand memandangkan kira-kira 80% daripada hasilnya diperoleh daripada pasaran luar negara, dengan 61% didenominasikan dalam dolar Australia dan 16% dalam dolar New Zealand, manakala lebih 97% daripada kos jualan barangan kekal dalam ringgit.

 

Berdasarkan analisis sensitiviti oleh firma penyelidikan tersebut, setiap perubahan 2% dalam mata wang Australia dan New Zealand boleh menyebabkan anggaran perubahan sebanyak 1.7% dalam hasil yang dilaporkan oleh PGF.

 

"Ia menunjukkan sensitiviti hasil PGF dilindungi kesan daripada kos input yang didenominasikan dalam ringgit, terutamanya dalam persekitaran di mana ringgit semakin kukuh.

 

"Bagaimanapun, pengukuhan ringgit, khususnya berbanding dolar Australia dan New Zealand, juga boleh menjejaskan hasil dan margin yang dilaporkan dari pasaran Oceania, yang kekal sebagai wilayah eksport terbesar bagi kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun trend itu mewujudkan beberapa risiko kepada segmen eksport kumpulan namun percaya risiko-risiko itu masih boleh diuruskan.

 

Katanya, pemacu utama pertumbuhan adalah rantau Oceania, di mana jualan penebat mendapat manfaat besar daripada peningkatan penggunaan penebat bulu kaca susulan pelaksanaan mandat Australia terhadap piawaian kecekapan terma yang lebih tinggi.

 

Bulu kaca kekal sebagai rumusan kos rendah yang digemari untuk memenuhi keperluan kecekapan tenaga, sekali gus meletakkan PGF sebagai penerima manfaat utama.

 

Firma penyelidikan tersebut memulakan liputan ke atas PGF dengan saranan “beli” dan harga sasaran berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian sebanyak RM2.43 sesaham, yang menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 40%.

 

Penilaian itu diterjemahkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan bagi tahun 2027 sebanyak 4.2 kali, satu diskaun besar berbanding purata sektor bahan binaan sebanyak 10.1 kali.

 

Firma penyelidikan itu berkata, PGF wajar diberi penarafan semula, disokong keterlihatan pendapatan yang kukuh hasil daripada permintaan tinggi terhadap bulu mineral kaca.- DagangNews.com