KUALA LUMPUR 27 Ogos - Paragon Globe Berhad mencatatkan peningkatan hasil lebih dua kali ganda kepada RM55.6 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2025 (1QFY26) berbanding RM23 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong momentum pendapatan berterusan daripada bahagian pembangunan hartanah.
Katanya, untung bersih kumpulan juga naik kepada RM15.9 juta berbanding RM5.7 juta pada 1QFY25.
"Prestasi yang lebih baik ini didorong pengiktirafan hasil daripada penjualan tanah di Desa Cemerlang, Johor, serta jualan kilang berkembar dan pejabat kedai di Pekan Nanas.
"Bahagian pembangunan hartanah menyumbang sebanyak RM55.6 juta dalam hasil dan RM23.6 juta keuntungan kasar, berbanding RM22.9 juta dan RM9.6 juta masing-masing dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Edwin Tan berkata, peningkatan hasil dan keuntungan mencerminkan permintaan yang stabil terhadap penawaran industri dan komersial selain menunjukkan nilai tanah simpan strategik di Johor.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperkasa rangkaian projek perumahan, komersial dan industri, sambil mengintegrasikan elemen kemampanan dalam setiap pembangunan.
"Matlamat kami adalah untuk terus memberikan nilai konsisten kepada para pemegang saham dan pihak berkepentingan ketika Johor mengukuhkan peranannya sebagai hab pertumbuhan utama di Malaysia," katanya.
Katanya, kumpulan itu kekal yakin terhadap prospek pertumbuhannya selaras dengan persekitaran ekonomi Malaysia yang stabil dan kedudukan Johor yang semakin menyerlah.
Inisiatif infrastruktur transformatif seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dijangka memacu aliran pelaburan rentas sempadan serta meningkatkan permintaan terhadap hartanah kediaman dan industri.
"Kumpulan juga sedang giat memajukan projek-projek akan datang, termasuk Calia Residences di Danga Bay, The Iconic di pusat bandar Johor Bahru dan pembangunan perbandaran bercampur pertama kumpulan yang melibatkan hartanah bertanah, Kensington Parkview di Iskandar Puteri.
"Selari dengan itu, kumpulan terus memberi keutamaan kepada kemampanan melalui kerjasama dengan GreenRE Sdn Bhd serta kerjasama dengan institusi kewangan untuk membangunkan projek hijau yang diperakui dan memenuhi jangkaan pasaran yang sentiasa berubah," katanya. - DagangNews.com








