KUALA LUMPUR 30 Julai - Hasil OSK Holdings Berhad dijangka meningkat dipacu perkembangan pesat dalam segmen kredit dan kabel selain perluasan asas pendapatan di luar sektor hartanah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, OSK sebelum ini mengumumkan pengambilalihan Wilayah Credit, syarikat pembiayaan motosikal yang kini mempunyai portfolio pinjaman sekitar RM40 juta.
Selepas pengambilalihan itu, OSK berpotensi meraih pertumbuhan tambahan dengan memanfaatkan keupayaan pembiayaan yang lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, ia juga dilihat memberi manfaat termasuk mengurangkan kebergantungan kepada sesuatu segmen semata-mata dalam pembiayaan pengguna dan ia sekali gus membolehkan kumpulan membina portfolio pembiayaan yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
“Kami percaya pelabur masih memandang rendah terhadap segmen kredit swasta kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.
Sebagai perbandingan, Qualitas Ltd, syarikat tersenarai di Australia yang memberi tumpuan kepada pelaburan kredit swasta dalam sektor hartanah, dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) bagi tahun kewangan 2024 hingga 2027 sebanyak 25.1%, dan kini diniagakan pada 23.9 kali nisbah harga terhadap pendapatan (PER) bagi FY26, berdasarkan anggaran konsensus.
“Sama seperti Qualitas, OSK turut mempunyai pendedahan dalam kredit swasta di Australia, terutamanya dalam sektor hartanah yang merangkumi 28% daripada portfolio pinjamannya," kata HLIB.
Firma penyelidikan itu berkata, berbanding Qualitas, portfolio pinjaman OSK adalah lebih seimbang dan pelbagai, baik dari segi geografi mahupun kumpulan pelanggan, sekaligus memberikan kelebihan dari segi kepelbagaian risiko, tambah HLIB.
Katanya, segmen kredit swasta OSK menunjukkan prestasi kukuh dengan mencatatkan CAGR keuntungan sebanyak 25.1% sepanjang enam tahun dari FY18 hingga FY24, sejajar dengan kadar pertumbuhan yang dijangka oleh Qualitas.
“Setelah mencapai skala yang signifikan, segmen ini kini berada pada kedudukan baik untuk menarik perhatian pelabur, dan bakal menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan pada masa hadapan,” katanya.
Bagi segmen kabel, ia dijangka mencatatkan pendapatan kukuh pada suku kedua 2025, disokong oleh penyiapan penghantaran besar-besaran kepada sebuah syarikat utiliti.- DagangNews.com








