KUALA LUMPUR 24 Sept - Kronologi Asia Berhad mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 15% atau RM120.14 juta pada separuh pertama berakhir 31 Julai 2025 (1HFY26) berbanding RM141.1 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, bagaimanapun keuntungan operasi meningkat 50.8% daripada RM3.3 juta kepada RM4.962 juta, dengan margin keuntungan kekal stabil.
Katanya, peningkatan itu dipacu program transformasi berterusan yang berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi dan kerugian tukaran asing.
Keuntungan bersih kumpulan bagaimanapun susut 16.3% kepada RM2.57 juta berbanding RM3.07 juta pada 1HFY25 dengan pendapatan kumpulan masih disumbangkan dari Singapura, China dan Filipina berjumlah RM99.31 juta atau 82.7% daripada jumlah keseluruhan.
Mengikut segmen perniagaan, pendapatan daripada bahagian Pengurusan Data Perusahaan (EDM) berjumlah RM85.66 juta atau 71.3% daripada pendapatan keseluruhan, hampir sama dengan tahun kewangan sebelumnya dan bakinya disumbangkan segmen EDM-As-A-Service.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif Kronologi, Edmond Tay berkata, pihaknya mempunyai asas kukuh di pasaran Asia dengan peluang perniagaan yang nyata untuk memperbaiki jualan dan pelaksanaan bagi membawa syarikat ke tahap seterusnya.
Beliau berkata, selain itu, pihaknya sedang menjalin kerjasama dengan pengeluar dan syarikat teknologi terkemuka yang menawarkan keupayaan rantaian bekalan pembuatan serta platform teknologi canggih bagi menyokong pelanggan serantau dengan penyelesaian moden dan premium.
“Kami kekal fokus kepada inisiatif pertumbuhan berkeutamaan tinggi, khususnya dalam platform data berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan aliran kerja data berprestasi tinggi.
"Kami juga berazam untuk terus memperbaiki prestasi kewangan melalui transformasi perniagaan dan inisiatif kecekapan operasi yang sedang dijalankan, yang bersama-sama akan memacu syarikat ke hadapan," katanya.- DagangNews.com








