Hasil KPJ Healthcare naik 11% kepada RM1.02 bilion pada 2QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil KPJ Healthcare naik 11% kepada RM1.02 bilion pada 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - KPJ Healthcare Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11% kepada RM1.02 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM925 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong jumlah pesakit yang lebih tinggi serta kapasiti perkhidmatan yang diperluas. 

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan itu juga disokong peningkatan jumlah pembedahan serta purata hasil setiap kes pesakit dalam  yang lebih baik sekali gus mencerminkan tahap kerumitan klinikal dan kepelbagaian kes yang meningkat.

 

Keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) KPJ Healthcare pada 2QFY25 meningkat 8% kepada RM82 juta didorong pertumbuhan hasil yang kukuh dan pengurusan kos berhemat selain bilangan kemasukan pesakit dalam meningkat sebanyak 2% kepada 92,665 orang manakala pesakit luar meningkat 4% kepada 703,802 orang dengan kadar peningkatan katil adalah sebanyak 62%.

 

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim sebanyak 1.05 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan RM45.8 juta, yang akan dibayar pada 10 Oktober 2025.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, untung bersih 2QFY25 meningkat sebanyak 40% berbanding suku sebelumnya, mencerminkan prestasi yang lebih kukuh dengan margin keuntungan kasar pula berada pada paras 44.1% bagi suku ini dan 43.6% bagi tempoh enam bulan berakhir 2025, sejajar dengan pengurusan kewangan yang berhemat. 

 

kpj
                                                      Chin Keat Chyuan

 

Katanya, hasil KPJ Healthcare meningkat 11% berbanding 2QFY24 dan 9% bagi tempoh enam bulan berakhir 2025 (1HFY25), didorong permintaan lebih tinggi serta peningkatan dalam kepelbagaian dan kerumitan kes yang dirawat di seluruh rangkaian hospital mereka.

 

"Menerusi pelan transformasi dan penstrukturan semula portfolio yang bermula pada 2023, kami berjaya menamatkan operasi di Bangladesh serta menumpukan fokus terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan pemacu pertumbuhan strategik. 

 

"Keputusan terkini Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) ke tahun 2027 memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pihak berkepentingan, di samping memberi ruang untuk memperkukuh kesiapsiagaan sistem secara lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Keat Chyuan berkata, di bawah KPJ Health System, pihaknya terus memperkukuh perkhidmatan subkepakaran, memperluas keupayaan digital serta memacu inisiatif untuk ke arah penubuhan Pusat Kecemerlangan pada masa hadapan dan usaha itu tidak tertumpu hanya pada pertumbuhan tetapi turut mempertingkatkan kualiti perkhidmatan “Care for Life” agar pesakit serta komuniti dapat terus menaruh kepercayaan kepada mereka.

 

KPJ
Pasukan pembedahan di Hospital Pakar KPJ Ipoh menjalankan prosedur penggantian
lutut sepenuhnya dengan bantuan sistem CUVIS.

 

"Fokus kami mudah, untuk menyampaikan penjagaan yang mudah diakses, mampan dan benar-benar berteraskan kepada keperluan insan, selaras dengan misi kami untuk terus merawat, mendidik dan meneroka untuk semua," katanya.

 

KPJ Healthcare kekal optimis dan berwaspada terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh permintaan pesakit yang stabil serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi. 

 

Usaha itu merangkumi pengoptimuman aset, peluasan kapasiti dan pengurusan kos yang berdisiplin.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0% hingga 4.8% bagi tahun 2025.

 

Keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem  sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kepada tahun 2027 turut memberikan hala tuju yang jelas ke arah peralihan yang lebih terancang dan mampan. - DagangNews.com