KUALA LUMPUR 29 Julai - Hasil IGB REIT pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) naik sebanyak 6.8% kepada RM160.1 juta berbanding RM150 juta pada suku sama tahun lalu didorong pendapatan sewa yang lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat sebanyak 9.5% kepada RM119.9 juta, berbanding RM109.5 juta pada 2QFY24.
Katanya, hasil kumpulan pada 1HFY25 meningkat sebanyak 6.1% kepada RM331.5 juta, berbanding RM312.5 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu manakala NPI turut meningkat sebanyak 8.2% kepada RM253 juta daripada RM233.7 juta.
"Pengurusan telah meluluskan pengagihan sebanyak 97.5% daripada pendapatan boleh agih suku tahunan IGB REIT, berjumlah RM102.2 juta atau 2.82 sen seunit," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, sektor runcit dijangka berdepan tekanan daripada kenaikan kos termasuk tarif elektrik lebih tinggi, peningkatan gaji minimum dan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% untuk pekerja asing.
Katanya, perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga diramal memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.
"Dalam Laporan Industri Runcit Malaysia ke-28, Retail Group Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan jualan runcit untuk tahun penuh 2025 kepada 3.1% daripada 4.3%, disebabkan oleh permintaan bermusim yang telah kembali normal dan kenaikan harga barangan.
"Walaupun berdepan cabaran ini, IGB REIT kekal optimis terhadap peluang jangka panjang melalui strategi pengembangannya," katanya.
Sementara itu, cadangan pengambilalihan The Mall, Mid Valley Southkey yang diumumkan pada 24 Jun 2025 akan siap sepenuhnya pada suku keempat 2025 dan ia dijangka mempelbagaikan portfolio hartanah pelaburannya, disokong oleh pembangunan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Perbelanjaan rentas sempadan yang didorong oleh kekuatan dolar Singapura turut mengukuhkan lagi prospek yang positif untuk IGB REIT.- DagangNews.com








