KUALA LUMPUR 7 Ogos – Harvest Miracle Capital Bhd merancang untuk meluaskan operasinya ke dalam bidang pemerolehan, pembekalan dan perdagangan bahan binaan, selaras dengan usaha untuk memanfaatkan lonjakan sektor infrastruktur dan hartanah negara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Harvest Miracle berkata, cabang perniagaan itu akan dijalankan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Miracle Nexus Supply Sdn Bhd (MNS) dan dijangka dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang.
“Pelan diversifikasi ini dibuat berikutan hasil dalam segmen teras syarikat iaitu teknologi maklumat (IT) dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus merosot dan mencatatkan penurunan ketara daripada RM126.1 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2023 (FY23) kepada RM89.1 juta dalam FY25, berikutan permintaan yang semakin lemah dalam pasaran ICT yang telah tepu.
“Kumpulan telah giat mempelbagaikan asas pendapatannya sejak beberapa tahun lalu, termasuk menceburi bidang peminjaman wang, perladangan, pembuatan batu bata tanah liat serta bahan binaan,” kata Harvest Miracle.
Bagi tahun kewangan 2025, segmen pembuatan batu bata menyumbang RM20.53 juta kepada hasil kumpulan, manakala perniagaan bahan binaan yang baru ditubuhkan menjana RM9.19 juta.
Harvest Miracle berkata, sektor bahan binaan dijangka mendapat manfaat daripada pelaburan kukuh sektor awam dan swasta.
“Jangkaan ini bersandarkan rangka kerja Ekonomi Madani serta projek-projek pengangkutan berskala besar sebagai pemacu utama pertumbuhan syarikat,” katanya.
Melalui MNS, syarikat akan membekalkan pelbagai bahan struktur dan kemasan termasuk agregat, besi tetulang, simen, jubin, kayu serta bahan penebat, yang akan diperoleh daripada pengeluar terkemuka tempatan dan antarabangsa.- DagangNews.com








