Hasil CIMB pada 1QFY25 susut 2.3% kepada RM5.5 bilion disebabkan tekanan margin faedah bersih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil CIMB pada 1QFY25 susut 2.3% kepada RM5.5 bilion disebabkan tekanan margin faedah bersih

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Hasil CIMB Group Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut 2.3% kepada RM5.5 bilion berbanding RM5.6 bilion pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan tekanan margin faedah bersih (NIM).

 

Untung bersih kumpulan itu bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.94 bilion pada 1QFY24 didorong peningkatan dalam pendapatan faedah bersih (NII).

 

Pendapatan faedah bersih meningkat sedikit kepada RM3.82 bilion, manakala pendapatan bukan faedah (NOII) merosot sebanyak 8.5% kepada RM1.68 bilion disebabkan pinjaman tidak berbayar (non-performing loans) dan dagangan proprietari yang lebih rendah.

 

Katanya, jumlah aset dan pinjaman kasar bank masing-masing meningkat sebanyak 5.1% dan 4.4% berdasarkan kadar pertukaran mata wang asing yang tetap.

 

Jumlah deposit keseluruhan meningkat 2.7%, dengan aliran masuk akaun semasa dan simpanan (CASA) meningkat 7.4%, sekali gus meningkatkan nisbahnya kepada 43.8% pada Mac 2025 berbanding 40.8% setahun sebelumnya.

 

“Peningkatan asas CASA kumpulan dan gabungan pembiayaan yang menggalakkan telah membantu mengurangkan kos dana sebanyak empat mata asas suku ke suku dan 11 mata asas.

 

“Pengurusan aset-liabiliti yang berhemah turut membantu mengekalkan NIM yang stabil pada 2.16% dalam 1QFY25, walaupun terdapat pengurangan kadar faedah di Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) Kumpulan berada pada paras 46.9% dalam 1QFY25, hasil daripada pengawalan kos yang berterusan, namun tanpa menjejaskan pelaburan dalam teknologi dan daya tahan. Pelaburan dalam teknologi meningkat sebanyak 5%.

 

Sementara itu, jumlah peruntukan kekal terkawal pada RM311 juta, dengan kos kredit bertambah baik kepada 26 mata asas, berbanding 35 mata asas dalam 1QFY24.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Novan Amirudin berkata, prestasi itu menyerlahkan kekuatan berterusan portfolio ASEAN kumpulan yang pelbagai dengan sumbangan kukuh daripada pelbagai segmen pendapatan, terutamanya daripada pendapatan francais pelanggan, yang telah menunjukkan pertumbuhan konsisten sejak 2022.

 

“Kami telah mengekalkan kualiti aset yang sihat dan melaksanakan kawalan kos secara berdisiplin untuk meningkatkan daya tahan dalam persekitaran operasi yang dinamik,” katanya.- DagangNews.com