Hasil AWC melepasi paras RM400 juta buat kali pertama pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil AWC melepasi paras RM400 juta buat kali pertama pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hasil AWC Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) naik 3.8% kepada RM414.1 Juta berbanding RM398.8 juta pada tahun sebelumnya didorong penyiapan pesanan dan penyerahan projek dalam bahagian rel.

 

Kumpulan itu berkata, ia merupakan kali pertama hasil keseluruhan AWC melepasi paras RM400 juta.

 

Katanya, untung bersih bagi FY25 melonjak 26.1% kepada RM24.9 juta meningkat daripada RM19.7 juta pada tahun sebelumnya dipacu pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh penyatuan penuh pendapatan bahagian alam sekitar bagi tahun kewangan tersebut.

 

Untung bersih FY25 merangkumi pemulihan rosot nilai ke atas aset kontrak berjumlah RM3.2 juta dan  sekiranya item itu dikecualikan, untung bersih FY25 akan menjadi lebih tinggi iaitu 50.9%, mencerminkan peningkatan operasi asas yang lebih baik.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, pihaknya berbesar hati kerana berjaya mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah selain peningkatan untung bersih yang sihat walaupun berdepan ketidaktentuan makroekonomi.

 

awc
Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor

 

Beliau berkata, penyatuan penuh pendapatan daripada bahagian alam sekitar adalah petunjuk jelas bahawa pelaburan kumpulan mula membuahkan hasil. 

 

"Melangkah ke FY26 kami akan terus mengekalkan pendekatan yang berhati-hati namun progresif. Kumpulan akan kekal fokus dalam pelaksanaan projek-projek yang telah diperoleh sambil merebut peluang menarik yang ada di hadapan.

 

"Kami terus melihat banyak peluang untuk semua bahagian, khususnya bahagian alam sekitar dan kejuruteraan. Bahagian alam sekitar, walaupun terdapat sedikit kelembapan di pasaran timurtTengah akibat ketidaktentuan makroekonomi, prospek di Malaysia dan Singapura kekal memberangsangkan. 

 

"Sementara itu, untuk bahagian kejuruteraan, kami sedang menjalankan beberapa projek utama termasuk beberapa projek pusat data, dan pasukan kami sedang giat membida lebih banyak projek," katanya. - DagangNews.com