KUALA LUMPUR 25 Ogos - Hasil Aeon Co (M) Berhad pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) naik 2.6% kepada RM2.24 juta berbanding RM2.19 juta disokong kadar penghunian serta pembaharuan penyewaan lebih tinggi.
Katanya, segmen perkhidmatan pengurusan hartanah terus mencatat pertumbuhan positif dengan menjana hasil sebanyak RM398.6 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2025, iaitu 7.4% lebih tinggi berbanding RM371.0 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Segmen perniagaan runcit turut mencatat peningkatan 1.6% dalam separuh pertama tahun kewangan 2025, dengan hasil meningkat kepada RM1.84 bilion berbanding RM1.82 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada berkata, kumpulan itu teguh dalam memperkukuhkan asas perniagaan, meningkatkan nilai pelanggan, dan memacu daya saing untuk jangka panjang.
"Aeon akan terus memperluas rangkaian jenama sendiri, mempercepatkan transformasi digital, mengoptimumkan gabungan penyewa, serta memaksimumkan nilai ruang runcit bagi menarik lebih banyak kunjungan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Aeon turut memperkukuhkan perniagaannya di Negeri Sembilan dengan pelaksanaan projek peluasan Aeon Mall Seremban 2. Majlis pecah tanah bagi peluasan itu telah disempurnakan bulan lalu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun Bangunan baharu ini dijangka siap pada tahun 2027.
Aeon Mall Seremban 2 akan menjadi pusat beli-belah terbesar di Negeri Sembilan dengan keluasan lantai bersih untuk disewa (NLA) melebihi 700,000 kaki persegi.
Di Perak, Aeon memperkukuhkan perniagaannya melalui pembukaan semula Aeon Ipoh Station 18 dengan wajah baharu dan gabungan penyewa yang dipertingkat, pembangunan semula dan peluasan Aeon Mall Kinta City, serta perjanjian pajakan jangka panjang bagi Aeon Mall Seri Manjung.
Kerja-kerja pengubahsuaian juga sedang dijalankan di beberapa setor dan pusat beli-belah Aeon terpilih, menekankan komitmen syarikat untuk menerajui serta seiring dengan landskap peruncitan yang pesat berubah. - DagangNews.com








