Hartanah Kenyalang sasar kumpul RM19.3 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartanah Kenyalang sasar kumpul RM19.3 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 April - Syarikat pembinaan Sarawak, Hartanah Kenyalang Bhd, merancang untuk mengumpul RM19.3 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

IPO itu melibatkan tawaran awam sebanyak 198.4 juta saham biasa, terdiri daripada 120.9 juta saham baharu dan 77.5 juta saham sedia ada, yang mewakili 32% daripada jumlah modal saham terbitan syarikat sebanyak 620 juta saham.

 

Hartanah Kenyalang berkata, daripada 120.9 juta saham baharu, sejumlah 31 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 18.6 juta saham untuk kakitangan syarikat yang layak. 

 

"Sebanyak 71.3 juta saham selebihnya akan disalurkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 77.5 juta saham sedia ada akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Berdasarkan harga tawaran IPO sebanyak 16 sen sesaham, syarikat merancang untuk memperuntukkan 15.5% atau RM3 juta daripada hasil yang diperoleh untuk membeli jengkaut baharu dan perkakasan serta perisian berkaitan teknologi maklumat.

 

Jelasnya, kira-kira 54.2% atau RM10.5 juta diperutukkan untuk modal kerja projek, sebanyak 10.9% atau RM2.1 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank dan 19.4% atau RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Hartanah Kenyalang dijangka bernilai sekitar RM99.2 juta selepas disenaraikan pada 9 Jun 2025.  

 

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat dalam ada itu berkata, pihaknya teruja dengan penyenaraian di Pasaran ACE selepas lebih 10 tahun mencatat pertumbuhan kukuh dalam industri.

 

Menurut beliau, peruntukan RM10.9 bilion dalam Belanjawan Sarawak 2025, termasuk RM1 bilion untuk pembinaan jalan dan jambatan, akan terus mendorong pertumbuhan sektor pembinaan di negeri itu.

 

"Ini satu peluang besar. Kami akan gunakan sebahagian dana IPO untuk membeli enam jengkaut baharu bagi menggantikan mesin lama dan meningkatkan keupayaan kerja," katanya.

 

Jelas beliau, syarikat juga berhasrat menawarkan perkhidmatan reka bentuk dan bina dengan melabur dalam sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), yang membantu kerjasama lebih baik antara pemilik projek, jurutera dan kontraktor melalui model 3D.

 

Katanya, setakat 30 April 2025, syarikat telah menyertai tender projek bernilai RM451 juta, termasuk projek reka bentuk dan bina bernilai RM311 juta.

 

"Kami yakin dengan langkah ini. Kami boleh bergerak lebih jauh dalam industri dan bersaing dengan lebih baik di pasaran," tambahnya.

 

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO Hartanah Kenyalang. - DagangNews.com