KUALA LUMPUR 11 April – Hartanah Kenyalang Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada suku kedua 2025.
IPO yang dicadangkan itu melibatkan 620 juta saham biasa dalam usaha meneroka pasaran modal dan memperkukuhkan daya saing dalam industri pembinaan.
IPO syarikat melibatkan 198.4 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan baharu sebanyak 120.9 juta saham dan penawaran 77.5 juta saham sedia ada mewakili 32% daripada modal saham diterbitkan yang diperbesarkan.
Daripada jumlah itu, 31 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 18.6 juta saham ditawarkan kepada pengarah, kakitangan serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan. Selebihnya diagihkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur strategik termasuk pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, perjanjian tersebut sebagai satu fasa penting dalam memacu pertumbuhan syarikat.
"Kerjasama ini mencerminkan keyakinan TA Securities terhadap asas perniagaan kami yang kukuh dan potensi pertumbuhan kami khususnya dalam landskap pembinaan Sarawak yang semakin rancak," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan negeri Sarawak bagi tahun 2025 berjumlah RM10.9 bilion termasuk RM1 bilion bagi projek jalan raya dan jambatan membuka peluang luas untuk syarikat meningkatkan kehadiran pasaran.
Dana hasil IPO akan digunakan bagi penggantian enam unit jentera penggali baharu dan meningkatkan kapasiti operasi. Syarikat juga merancang pelaburan dalam sistem Building Information Modelling (BIM) sebagai asas kepada penawaran perkhidmatan design and build dalam segmen bangunan dan infrastruktur.
Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dalam penyenaraian tersebut dan menyifatkan Hartanah Kenyalang sebagai syarikat dengan asas yang kukuh dan kehadiran pasaran yang mantap di Sarawak.
“Kami percaya momentum pertumbuhan syarikat ini akan terus digerakkan oleh perbelanjaan kerajaan dan agensi terhadap projek infrastruktur yang akan menyokong prestasi kewangan kumpulan secara berterusan,” katanya.
Antara projek semasa termasuk pembinaan Bangunan Arkib Negeri di Kuching, kemudahan sekolah Yayasan International School di Sibu dan Kuching, serta dua sekolah daif iaitu SK Tambay di Kota Samarahan dan SK Kujang Mawang di Serian.
Syarikat turut melaksanakan projek Jambatan Sebauh di Bintulu dan Jambatan Sungai Padas di Tenom, Sabah.
Hartanah Kenyalang ialah syarikat pegangan pelaburan, manakala anak syarikatnya, Hartanah Construction Sdn Bhd, terlibat dalam pembinaan bangunan institusi seperti sekolah dan kemudahan awam, selain infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.
TA Securities merupakan penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi penyenaraian tersebut








