Hartanah Kenyalang berpotensi catat pertumbuhan pendapatan 16% disokong lonjakan infrastruktur Sarawak - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartanah Kenyalang berpotensi catat pertumbuhan pendapatan 16% disokong lonjakan infrastruktur Sarawak - PublicInvest

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Hartanah Kenyalang Bhd berpotensi mencatatkan pertumbuhan pendapatan 16% setahun bagi tempoh dua tahun akan datang, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut disokong nilai buku pesanan yang kukuh dan perbelanjaan berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur di Sarawak.

 

"Kami menetapkan nilai saksama 22 sen sesaham, berdasarkan unjuran nisbah harga berbanding pendapatan (PER) sebanyak 11 kali bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

"Penilaian ini mengambil kira diskaun kira-kira 20% berbanding unjuran PER 14 kali bagi Indeks Pembinaan Bursa Malaysia, sejajar prospek positif kumpulan namun berskala operasi yang kecil," katanya dalam satu nota kajian.

 

Hartanah Kenyalang yang beroperasi di Sarawak merupakan syarikat perkhidmatan pembinaan yang berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan sektor pembinaan yang berterusan di negeri itu.

 

Firma itu turut menyenaraikan beberapa risiko utama termasuk kebergantungan kepada perbelanjaan kerajaan negeri Sarawak, persaingan dalam industri, serta kebergantungan kepada tenaga buruh dan subkontraktor.

 

Kumpulan turut merancang untuk memanfaatkan peruntukan pembangunan Sarawak RM10.9 bilion bagi tahun 2025 serta meneruskan bidaan projek sektor awam termasuk sekolah, bangunan khas, bangunan tinggi, jalan raya, jambatan dan pencawang.

 

Selain meningkatkan kecekapan dan kapasiti operasi, kumpulan merancang memperluas perkhidmatan reka bentuk dan bina melalui pelaburan dalam teknologi Building Information Modelling (BIM).

 

Bagi tempoh FY21 hingga FY24, keuntungan bersih Hartanah Kenyalang meningkat daripada RM4.8 juta kepada RM9.2 juta, dengan purata pertumbuhan tahunan 24% selaras dengan peningkatan hasil.

 

Namun, margin keuntungan bersih menurun 14% pada FY22 kepada 7% pada FY24 dan margin keuntungan kasar susut 24% pada FY21 kepada 18%.

 

Penurunan itu disebabkan oleh siapnya projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencatatkan margin lebih tinggi, selain kenaikan kos bahan binaan, subkontraktor, buruh, kewangan, dan perbelanjaan operasi lain.

 

Hartanah Kenyalang kini dalam proses penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan modal saham diterbit dan berbayar 620 juta unit.

 

Berdasarkan harga tawaran awal (IPO) 16 sen sesaham, kumpulan mencatat permodalan pasaran RM99.2 juta.- DagangNews.com