KUALA LUMPUR 31 Julai – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempersembahkan sebuah video pendek istimewa bertajuk “Atuk, Apa Tu?” sempena Hari Pahlawan 2025 yang disambuat hari ini.
Penghasilan video itu adalah sebagai penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempertahankan kedaulatan negara.
Video itu adalah mengenai kisah benar Kolonel Zulkifli Tahir (B), seorang veteran Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang kehilangan kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar semasa mengetuai platun peninjau Batalion Ke-9 RAMD dalam operasi menentang pengganas komunis di Gubir, Kedah pada tahun 1986.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, kisah tersebut dijadikan simbol keberanian dan semangat juang yang tidak pernah luntur, serta menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam menyemai nilai patriotisme dan penghargaan terhadap jasa wira negara.
“Penghasilan video itu untuk memastikan rakyat, khususnya generasi muda, dapat lebih memahami erti sebenar pengorbanan anggota tentera.
“Sempena sambutan Hari Pahlawan ini, kita tidak sekadar hanya mahu mengingati, malah mahu seluruh rakyat Malaysia merasainya.
“Menerusi filem pendek ini, kami merakamkan penghargaan kepada mereka yang sanggup melangkah ke medan perang, mempertaruhkan nyawa supaya kita yang menikmati keamanan,” katanya.
Tambahnya, kisah tragis yang menimpa Zulkifli adalah mengingatkan bahawa di sebalik setiap uniform, ada nasib insan, keluarga dan masa depan yang berubah selamanya.
Jelas beliau, LTAT bukan sahaja merancang persaraan mampan buat warga ATM, tetapi turut memastikan legasi, maruah dan jasa mereka terus dikenang.
“Kami berharap video pendek ini akan menyemarakkan kesedaran rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, tentang erti pengorbanan, semangat patriotisme dan kepentingan merancang masa depan,” katanya lagi.
Video “Atuk, Apa Tu?” dihasilkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan Kementerian Pertahanan melalui Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Kem Sungai Besi.
Ia boleh ditonton menerusi semua saluran media sosial rasmi LTAT.- DagangNews.com








