KUALA LUMPUR 2 Mei - Keputusan kerajaan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga telur ayam mula memberi kesan positif kepada pasaran saham, apabila kebanyakan saham syarikat penternakan menunjukkan peningkatan selepas pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Namun, syarikat penternakan terbesar di pasaran, QL Resources Bhd, mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.21% kepada RM4.80 sesaham, dengan nilai pasaran mencecah RM17.5 bilion.
CGS International (CGSI) pernah menyuarakan kebimbangan, pengurangan subsidi telur boleh menjejaskan pelan pengembangan QL Resources.
Firma penyelidikan itu menganggarkan margin keuntungan sebelum cukai syarikat berkemungkinan turun 0.4% tahun ke tahun kepada 9.1% bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Bagaimanapun, syarikat penternakan lain mendapat manfaat daripada langkah kerajaan itu.
"Teo Seng Capital Bhd, yang menghasilkan lebih empat juta biji telur setiap hari, menyaksikan sahamnya melonjak 5.15% kepada RM1.02, tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.
"Saham PWF Corp Bhd dan Lay Hong Bhd juga meningkat masing-masing sebanyak 4.61% dan 4.69%," demikian menurut laporan The Star.
Syarikat lain seperti Leong Hup International Bhd naik 1.63%, CCK Consolidated Holdings Bhd naik 1.55% dan Malayan Flour Mills Bhd meningkat 2.02%.
Kerajaan pada 30 April 2025, memaklumkan kawalan harga telur akan dihentikan serta-merta, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula hari ini.
Subsidi itu akan dihapuskan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam bentuk subsidi telur bagi membantu pengeluar menampung kos pengeluaran yang meningkat, kesan daripada pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine yang menjejaskan harga import kacang soya dan jagung.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan bekalan telur mencukupi serta kos pengeluaran yang telah stabil.
Katanya, langkah itu juga penting kerana pemberian subsidi dan kawalan harga yang berpanjangan tidak lagi mampan untuk industri pengeluaran telur tempatan dan kewangan negara. - DagangNews.com








