KUALA LUMPUR 6 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus menurun dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan kepada keuntungan syarikat perladangan berikutan permintaan global yang lemah terhadap minyak sayuran.
Ketika ini, harga MSM berada pada paras terendah dalam tempoh hampir 11 bulan.
Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata bagi Mei 2025 mencecah RM3,968 satu tan, susut 26% berbanding paras tertinggi RM5,333.50 pada Disember 2024.
Kontrak niaga hadapan bagi Julai 2025 pula dilihat terus lemah, sekitar RM3,810 satu tan, menunjukkan sentimen pasaran yang berhati-hati.
Pengurus kanan penyelidikan TA Securities Holdings Bhd, Angeline Chin, menjangka harga MSM akan kekal rendah buat sementara waktu disebabkan beberapa faktor.
"Permintaan global terhadap minyak sayuran semakin perlahan dan pada masa sama, pengeluaran sawit kini memasuki musim puncak, yang dijangka menambah stok dan memberi tekanan lanjut kepada harga," katanya kepada StarBiz.
Tambahnya, harga minyak sawit juga ditekan oleh minyak pesaing seperti minyak kacang soya, terutama apabila ketegangan perdagangan mengurangkan eksport kacang soya dari Amerika Syarikat (AS).
"Bekalan kacang soya dari Amerika Selatan, khususnya Brazil juga bertambah, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap bekalan global," jelasnya.
Laporan terbaharu Jabatan Pertanian AS menunjukkan, penanaman kacang soya di negara itu dibuat lebih awal daripada kebiasaan, yang mengukuhkan lagi unjuran harga minyak kacang soya yang lemah, satu lagi faktor yang menekan harga MSM.
Selain itu, Chin menjelaskan, harga minyak mentah dunia yang rendah menyebabkan penggunaan minyak sawit untuk biodiesel tidak lagi berbaloi dari sudut kos dan ia mengurangkan permintaan dari sektor tenaga.
Berkenaan kesan kepada keuntungan syarikat perladangan, Chin mengesahkan ia mungkin terjejas sekiranya harga terus merosot.
"Harga jualan yang lemah akan mengecilkan margin, terutamanya bagi syarikat huluan yang menanggung kos pengeluaran tinggi.
"Usaha menjimatkan kos dan menaikkan hasil mungkin sedikit membantu, tetapi keseluruhan prestasi tetap akan terkesan," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Datuk Nageeb Wahab menjangkakan, harga MSM akan berada antara RM3,800 hingga RM4,200 satu tan dalam masa terdekat.
"Penurunan ini berlaku kerana pengeluaran sedang berada pada paras tertinggi, tetapi saya percaya ia akan reda selepas Jun 2025," katanya.
Beliau turut mengakui ketidaktentuan cukai import boleh menjejaskan harga dan sentimen, namun menjangka harga akan kembali stabil dalam jangka panjang.
"Perang perdagangan antara AS dan China mungkin beri kelebihan kepada minyak sawit, kerana China perlu mencari pengganti kepada minyak kacang soya dari AS," tambahnya. - DagangNews.com








