KUALA LUMPUR 29 April - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah purata RM4,200 satu tan pada tahun ini, susulan harganya yang lebih tinggi berbanding minyak soya pada suku pertama 2025.
Kenanga Research berkata, setakat ini, harga MSM telah menurun berbanding harga tinggi yang dicatat pada suku keempat tahun 2024 dan kini lebih murah daripada harga minyak soya.
Jelasnya, permintaan untuk biodiesel juga menurun, terutamanya di Amerika Syarikat (AS), namun pembeli kini aktif membuat pembelian semula untuk menambah stok mereka.
"Secara keseluruhan, kekurangan bekalan dijangka berterusan pada 2025 dan paras stok dijangka semakin rendah berbanding tahun lepas.
"Oleh itu, harga dijangka kekal kukuh antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan," kata Kenanga Research dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan tersebut menganggarkan harga purata MSM sekitar RM4,200 satu tan pada 2025 dan RM4,000 pada 2026.
Ia turut mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan.
Menurutnya, pihaknya kekal positif terhadap sektor perladangan kerana pendapatan yang stabil.
Ini kerana 70% daripada permintaan minyak adalah untuk kegunaan makanan dan 23% lagi untuk biodiesel.
Kenanga Research berkata, permintaan juga dijangka kekal kukuh walaupun ekonomi global perlahan, lebih banyak sekatan perdagangan dan ketegangan antarabangsa meningkat.
Tambahnya, sektor berkenaan masih dalam keadaan kukuh dari segi kewangan, dengan banyak syarikat perladangan mempunyai tunai bersih atau hutang yang terkawal, serta margin keuntungan yang sihat hasil harga MSM dan biji sawit yang masih tinggi. - DagangNews.com








