KUALA LUMPUR 19 Ogos - Prospek BM Greentech Berhad bagi segmen pembuatan dandang (boiler) dilihat kurang memberangsangkan dalam tempoh terdekat, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kekal mendatar mendorong syarikat perladangan untuk menangguhkan perbelanjaan modal (capex) bagi penggantian atau menaik taraf peralatan.
Kenanga Research berkata, syarikat perladangan kini lebih cenderung memberi keutamaan kepada aktiviti penanaman semula pokok sawit yang telah tua berbanding pelaburan dalam menaik taraf dandang kilang sawit.
“Dengan harga MSM yang kurang menarik sejak beberapa suku lepas, banyak syarikat perladangan memilih untuk menangguhkan sebarang pembelian atau naik taraf dandang, memandangkan sumber kewangan mereka dialihkan ke kawasan lain seperti penanaman semula.
"Segmen pembuatan dandang telah lama menjadi antara komponen utama dalam perniagaan kumpulan, membekalkan sistem biojisim kepada kilang sawit tempatan dan serantau.
"Namun begitu, tekanan pasaran komoditi kini menjejaskan kadar pertumbuhan segmen ini, sekaligus memberi kesan ke atas unjuran jangka pendek syarikat," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, BM Greentech masih mempunyai potensi pertumbuhan menerusi segemn tenaga boleh diperbaharui (RE) terutamanya dalam pelaksanaan projek solar bersakal besar dan sistem solar atas bumbung.
Katanya, ia seiring dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk mencapai 70% campuran RE menjelang 2050 seperti dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Baru-baru ini, kumpulan itu memperoleh kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM95 juta di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), yang membabitkan pembangunan loji tenaga solar 29.99MW di Perak.
Meskipun cabaran dihadapi dalam segmen dandang, firma penyelidik mengekalkan unjuran pendapatan serta penarafan "market perform" terhadap BM Greentech dengan harga sasaran (TP) RM1.72 bagi mencerminkan imbangan antara risiko jangka pendek dan potensi jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








