Harga minyak sawit dijangka kekal antara RM3,750 hingga RM4,050 setiap tan bulan ini - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit dijangka kekal antara RM3,750 hingga RM4,050 setiap tan bulan ini - MPOC

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mei - Harga minyak sawit Malaysia dijangka kekal dalam lingkungan RM3,750 hingga RM4,050 bagi setiap tan sepanjang bulan Mei ini sebelum menunjukkan tanda-tanda pemulihan mulai bulan depan.

 

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga komoditi itu mengalami tekanan sejak dua bulan lalu susulan beberapa faktor termasuk harga tenaga global yang lemah, margin biodiesel yang rendah, peningkatan pengeluaran minyak mentah oleh OPEC mulai Jun 2025 dan kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

 

"Kami menjangkakan permintaan global untuk minyak sawit akan mula pulih antara Jun 2025 hingga September 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

MPOC berkata, satu data terkini menunjukkan, harga minyak sawit merosot 18% sejak April lalu, namun harga minyak soya sebaliknya meningkat 7%, sementara harga minyak mentah jatuh 20% dalam tempoh sama.

 

Dari segi pengeluaran, MPOC melaporkan, hasil pada April lalu meningkat 298,000 tan berbanding Mac 2025, manakala stok simpanan naik 303,000 tan pada April 2025 ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

 

"Pasaran eksport utama seperti rantau Afrika Sub-Sahara mencatatkan kenaikan 24% untuk tempoh Januari hingga April 2025 berbanding tahun sebelumnya, manakala negara-negara ASEAN menunjukkan pertumbuhan 8%," jelas MPOC.

 

Bagaimanapun, MPOC berkata, sektor biodiesel global masih lemah didorong pengeluaran AS yang merosot 24%, penggunaan bahan mentah utama seperti minyak kanola (-57%) serta minyak soya (-33%) yang menurun ketara.

 

"Jumlah pengeluaran biodiesel global dijangka susut 1.7 juta tan tahun ini.

 

"Sebaliknya, Indonesia mengekalkan penggunaan biodiesel yang stabil pada 1.9 juta tan, sedikit meningkat berbanding 2024," ujarnya. - DagangNews.com