Harga minyak mentah lemah, langkah penjimatan kos PETRONAS diramal jejas permintaan kapal sokongan Keyfield - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah lemah, langkah penjimatan kos PETRONAS diramal jejas permintaan kapal sokongan Keyfield - Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Harga minyak mentah global yang rendah dan langkah penjimatan kos oleh PETRONAS diramal menjejaskan permintaan terhadap kapal sokongan luar pesisir (OSV) Keyfield International Berhad.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 28% pada 1HFY25 disebabkan kemerosotan kadar penggunaan kapal OSV daripada 82% kepada 58%. 

 

Katanya, kejatuhan itu berpunca daripada permintaan pasaran yang lebih lemah, dua kapal keluar untuk penyelenggaraan, serta satu lagi sedang diubah suai bagi memenuhi keperluan piagam di Asia Barat.

 

“Kami menjangkakan pasaran OSV domestik kekal mencabar dalam masa terdekat, dipengaruhi harga minyak yang belum pulih dan penekanan PETRONAS terhadap kawalan kos operasi. 

 

"Keadaan ini memberi tekanan kepada kadar sewaan harian (DCR) dan penggunaan kapal,” katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perolehan Keyfield susut 33.7% kepada RM132 juta pada Q2 2025

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar sewaan harian purata untuk kapal penginapan (AWB) menyusut sekitar 10%, namun situasi masih dianggap terkawal berbanding kitaran penurunan terdahulu seperti pada 2015 dan 2020. 

 

Katanya, tambahan pula, walaupun pasaran agak kukuh pada tahun 2024, aktiviti pembinaan kapal baharu oleh pengendali tempatan kekal rendah, sekali gus membantu mengehadkan lebihan bekalan.

 

"Kami memotong unjuran pendapatan FY25 dan FY26 masing-masing sebanya 40% dan 32%, berikutan pelarasan kepada unjuran DCR dan kadar penggunaan kapal. 

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan kepada "market perform" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.57 sesaham memandangkan ketidaktentuan pasaran minyak mentah dan permintaan OSV yang lemah di Malaysia terus membayangi prestasi jangka pendek syarikat," katanya.- DagangNews.com