KUALA LUMPUR 18 Julai – Harga hartanah kediaman di Johor Bahru mencatat lonjakan ketara pada suku kedua 2025 (2Q 2025), didorong keyakinan pelabur terhadap hartanah mewah susulan pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut JLL Malaysia.
Firma perundingan hartanah dan pengurusan pelaburan itu menyatakan harga purata transaksi bagi pangsapuri servis meningkat sebanyak 20.4% berbanding purata tahunan pada 2024
Pengarah Urusan JLL Malaysia, Jamie Tan berkata, bagi rumah teres dua tingkat pula, ia turut menunjukkan kenaikan sekitar 8.6% dalam tempoh yang sama.
"Pembeli tempatan dan serantau juga menunjukkan kembali minat mereka dalam pemilikan hartanah di Johor Bahru, ditambah dengan penambahbaikan infrastruktur berterusan di bandar itu serta kesan limpahan daripada pelancaran JS-SEZ yang menyokong pertumbuhan harga hartanah tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Antara komponen infrastruktur utama yang memperkukuh pembangunan zon tersebut termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.
Laluan rel sepanjang empat kilometer itu dijadual mula beroperasi menjelang Disember 2026 dan mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan masa perjalanan rentas sempadan dipendekkan kepada hanya enam minit.
Beliau menjelaskan pelancaran JS-SEZ berlaku serentak dengan peningkatan ketara kos perniagaan di Singapura, sementara Malaysia pula mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang stabil, menarik dan muncul sebagai hab digital serantau.
"Gabungan faktor-faktor ini telah menarik minat banyak industri pembuatan dan perkhidmatan untuk memindahkan operasi atau menubuhkan fasiliti 'kembar' di Johor.
“Langkah ini dapat mengoptimumkan kos sambil mengekalkan jarak strategik dengan pasaran serta rangkaian Singapura," tambahnya.
Dilancarkan secara rasmi pada 8 Januari 2025, JS-SEZ meliputi keluasan 3,288 kilometer persegi merangkumi sembilan kawasan utama di Iskandar Malaysia dan Pengerang.- DagangNews.com








