KUALA LUMPUR 20 Mei – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik 10 sen kepada RM4.97 seliter bagi tempoh 21 hingga 27 Mei 2026, menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian tersebut menambah, penetapan harga itu selaras dengan pelaksanaan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), berikutan situasi harga minyak mentah di pasaran global.
“Selain diesel, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan 20 sen kepada RM4.07 seliter, manakala RON97 meningkat 15 sen kepada RM4.85 seliter,” kata kementerian.

Kerajaan menjelaskan harga bahan api masih kekal tinggi berbanding paras sebelum gangguan geopolitik di Timur Tengah, apabila minyak mentah kini berada sekitar AS$100 setong berbanding AS$70 sebelum konflik.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan peningkatan kos logistik dan insurans susulan risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada harga minyak global.
Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan harga subsidi bersasar bagi mengurangkan kesan kos sara hidup, termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, serta harga bawah skim SKPS dan SKDS.
Kerajaan MADANI dalam kenyataannya berkata pendekatan berhemah akan terus diambil bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara di samping menjamin kestabilan fiskal negara serta bekalan bahan api yang mencukupi. - DagangNews.com








