Harga bahan binaan meningkat pada Disember 2025, simen paling tinggi di Kelantan & Terengganu – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga bahan binaan meningkat pada Disember 2025, simen paling tinggi di Kelantan & Terengganu – DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan – Harga bahan binaan di Malaysia mencatatkan peningkatan pada Disember 2025 dengan simen merekodkan kenaikan tertinggi di Kelantan dan Terengganu sebanyak 3.2% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Peningkatan ini turut dilihat di empat negeri lain yang mencatat pertumbuhan antara 1.6 hingga 1.8% iaitu Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Indeks harga seunit pasir menunjukkan peningkatan sedikit, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1% hingga 4.8% di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2025.

 

Selain itu, indeks harga seunit besi meningkat antara 0.1% sehingga 1.0% berbanding bulan sebelumnya manakala indeks harga keratan keluli dan logam turut mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 1.1% di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Perbandingan tahunan antara Disember 2024 dan Disember 2025 menunjukkan bahawa indeks harga seunit besi menurun antara -3.2% hingga -7.1% di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Penurunan tertinggi dicatatkan di Sibu (-7.1%), diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-6.8%) serta Kota Kinabalu (-6.5%).

 

Bagi indeks harga seunit simen secara tahunan pula, peningkatan dicatatkan antara 2.0% hingga 6.1% di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Pahang (6.1%), diikuti Tawau (5.4%) dan Sandakan (5.0%).

 

Purata harga seunit besi, yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bar, meningkat 0.1% kepada RM3,512.10 per tan metrik berbanding November 2025 (RM3,509.60). 

 

Purata harga simen Ordinary Portland meningkat 0.8% kepada RM24.55 per 50 kg berbanding RM24.35 pada bulan sebelumnya.

 

Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) termasuk bar keluli di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1% hingga 2.0% pada Disember 2025 berbanding bulan sebelumnya, bagi semua kategori bangunan dan kawasan.

 

IKB termasuk bar keluli di Sabah meningkat antara 0.1% hingga 0.9% bagi hampir semua kategori bangunan pada Disember 2025. 

 

Di Sarawak, perbandingan bulan ke bulan IKB menunjukkan penurunan kecil antara -0.1% hingga -0.2% di Sibu, manakala IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri meningkat antara 0.1% hingga 0.5%. - DagangNews.com