KUALA LUMPUR 12 Sept – Hanya 73 projek Infrastruktur Kemudahan Rakyat (IKR) di Sarawak berjaya dilaksanakan bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2025 berbanding jumlah keseluruhan permohonan sebanyak 467 projek.
Kementerian Ekonomi berkata, daripada jumlah tersebut, 157 projek telah disenarai pendek untuk dilaksanakan oleh 27 agensi pelaksana yang telah dipilih oleh individu yang memohon.
“Bagaimanapun, berdasarkan semakan untuk menentukan kebolehlaksanaan projek, sebanyak 62 projek diterima, 34 projek tidak dapat dilaksanakan oleh agensi pelaksana memandangkan ia berada di luar kawasan pentadbiran
pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 11 projek telah siap.
“Selain itu, sebanyak 61 projek telah dibatalkan memandangkan agensi pelaksana tidak mengemukakan maklum balas lengkap kepada Kementerian Ekonomi dalam tempoh yang ditetapkan,” kata Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kenyataan itu dibuat untuk memberi penjelasan kepada soalan Senator Abun Sui Anyit yang ingin tahu jumlah kelulusan projek yang dimohon, diluluskan dan apa kekangan dihadapi kementerian dalam melaksanakannya di Sarawak.
Dalam pada itu, Kementerian berkata, sebanyak RM10.29 juta telah disalurkan oleh Kementerian Ekonomi sehingga 31 Julai 2025 untuk melaksanakan semua projek tersebut.
Kementerian menegaskan setiap permohonan projek perlu melalui proses semakan dan tapisan rapi bagi memastikan ia benar-benar menepati kriteria IKR yang ditetapkan.
“Proses ini penting bagi mengelakkan pelaksanaan projek yang tidak sesuai atau tidak dapat memberi manfaat optimum kepada penduduk setempat.
“Antara faktor utama yang menyebabkan kegagalan projek termasuk permohonan di luar skop garis panduan IKR, kos projek yang melebihi siling maksimum RM200,000, serta tapak projek yang terletak di tanah persendirian dan memerlukan proses pengambilan tanah.
“Faktor teknikal ini menjadi penghalang besar kepada kelulusan projek,” katanya.
Selain itu, terdapat juga projek yang dicadangkan berada di luar kawasan operasi agensi pelaksana yang dilantik.
Dalam keadaan sebegini, walaupun projek mendapat sokongan di peringkat awal, ia akhirnya tidak dapat direalisasikan kerana tiada agensi pelaksana yang berupaya menguruskan pelaksanaannya.
Kelewatan atau kegagalan agensi pelaksana mengemukakan laporan kebolehlaksanaan projek turut menjadi punca mengapa sebahagian besar projek tidak dapat diteruskan.
Kementerian berkata, maklum balas lengkap amat penting bagi menilai kesesuaian dan keberkesanan sesuatu projek sebelum dana awam disalurkan.
Faktor geografi Sarawak juga disebut sebagai kekangan besar dalam melaksanakan projek IKR.
“Keadaan muka bumi yang luas, kawasan pedalaman yang sukar diakses serta cabaran logistik menyukarkan pihak berkuasa tempatan membuat semakan dan pemantauan di lapangan.
“Hal ini sering menyebabkan kelewatan proses kelulusan atau pembatalan terus projek yang dicadangkan,” kata kementerian itu.
Walaupun kadar kelulusan projek IKR di Sarawak masih rendah, kementerian menegaskan pendekatan ketat itu perlu bagi memastikan hanya projek yang benar-benar berdaya maju dapat dilaksanakan.
Keutamaan diberikan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas dan kualiti hidup di peringkat komuniti.
Kementerian juga memberi jaminan akan terus memperbaiki proses penilaian serta bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi pelaksana bagi mengatasi kekangan yang dikenal pasti.
IKR merupakan salah satu inisiatif kerajaan persekutuan untuk menyediakan kemudahan asas secara langsung kepada masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar. - DagangNews.com








