Hanya 6% syarikat Asia Pasifik berdepan risiko ketara daripada tarif AS, kata Moody’s Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hanya 6% syarikat Asia Pasifik berdepan risiko ketara daripada tarif AS, kata Moody’s Ratings

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Hanya 6% daripada syarikat yang diberi penarafan di Asia Pasifik (APAC) berdepan risiko ketara berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), terendah di peringkat global, mencerminkan daya tahan rantau ini di tengah-tengah pergolakan perdagangan dan pasaran, kata Moody’s Investors Service (Moody’s Ratings).

 

Katanya, majoriti syarikat bukan kewangan di APAC sebahagian besarnya terlindung daripada tiga saluran penularan risiko — perdagangan, makroekonomi dan kewangan — yang telah muncul susulan perkembangan tarif global baru-baru ini.

 

“Kebanyakan syarikat ini terdedah kepada turun naik pasaran kewangan, dengan kecairan yang lemah dan hutang matang yang besar dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

 

Moody’s berkata, syarikat-syarikat APAC mendapat manfaat daripada operasi domestik yang besar serta perniagaan dan rantaian bekalan yang pelbagai secara global.

 

“Majoriti syarikat yang diberi penarafan (86%) mempunyai pendedahan perdagangan yang rendah terhadap AS, dengan kurang daripada 10% hasil daripada AS yang tertakluk kepada tarif, atau kurang daripada 10% daripada jumlah kos yang berpunca daripada import dari AS yang tertakluk kepada tarif,” katanya.

 

Laporan tersebut, yang memfokuskan kepada penilaian risiko bagi kira-kira 450 syarikat yang diberi penarafan di APAC, menyatakan hanya sebilangan kecil syarikat — terutamanya dalam industri perkapalan dan produk pengguna — mempunyai pendedahan tinggi terhadap risiko perdagangan berkaitan AS.

 

Dari perspektif makroekonomi, Moody’s Ratings berkata, pendedahan adalah tinggi bagi sektor automotif, pengangkutan (perkapalan dan penerbangan), serta tenaga.

 

“Tarif berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan pengguna serta memberi tekanan kepada rantaian bekalan global yang saling bergantung.

 

“Permintaan pengguna yang lemah dan risiko geopolitik yang tinggi akan mendorong turun naik harga komoditi, yang akan menjejaskan pendapatan pengeluar komoditi,” katanya.

 

Namun begitu, syarikat APAC yang diberi penarafan dalam sektor berisiko tinggi itu berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding syarikat di rantau lain, disebabkan kehadiran domestik yang besar atau operasi yang pelbagai secara global.

 

Sementara itu, Moody’s Ratings berkata, risiko kewangan tidak khusus kepada industri tertentu tetapi bergantung kepada kualiti kredit.

 

“Risiko kewangan adalah tinggi bagi 25% syarikat bukan kewangan berpendapatan tinggi di APAC.

 

“Dua pertiga daripada syarikat-syarikat ini diberi penarafan B3 dan ke bawah serta mempunyai kecairan yang lemah, di mana sumber tunai — yang terdiri daripada tunai sedia ada dan aliran tunai daripada operasi yang dijangka — tidak mencukupi berbanding aliran keluar tunai yang dijangka termasuk perbelanjaan modal, agihan kepada pemegang saham dan hutang matang,” katanya.

 

Disebabkan sumber dalaman yang tidak mencukupi, syarikat-syarikat berpenarafan rendah bergantung kepada sumber pembiayaan luaran, yang ketersediaannya boleh menjadi tidak menentu, terutama dalam tempoh tekanan pasaran.

 

“Walaupun terdapat risiko-risiko ini, Moody’s Ratings menjangkakan (pada Februari) bahawa kadar kegagalan syarikat berpendapatan tinggi dalam tempoh 12 bulan sebelumnya di APAC akan kekal stabil pada kadar 4.1% menjelang akhir 2025 — tidak berubah daripada akhir 2024 dan di bawah purata 10 tahun sebanyak 5.7%.

 

“Daya tahan keseluruhan portfolio APAC juga disokong oleh kehadiran penerbit berkaitan kerajaan dan syarikat yang bersekutu dengan kumpulan perniagaan besar yang kukuh dari segi kewangan, yang kebanyakannya mempunyai hubungan jangka panjang dengan bank-bank tempatan dan asing yang mapan serta rekod prestasi yang terbukti dalam mengakses pasaran modal domestik,” katanya. - BERNAMA