KUALA LUMPUR 16 Julai - Handal Energy Bhd dan anak syarikat milik penuhnya, Handal Imro Sdn Bhd berdepan tuntutan saman RM18 juta kerana gagal menghantar kren selepas memeterai perjanjian penjualan dua tahun tahun lalu.
Handal Imro juga dikenakan petisyen penggulungan oleh sebuah syarikat kerana didakwa gagal menjelaskan bayaran berjumlah RM233,811.
Dalam kes pertama, Handal Energy, yang terlibat dalam perniagaan kren luar pesisir berkata, ia telah menerima penyataan tuntutan daripada Deepetro Offshore Brokers Pte Ltd yang mendakwa, Handal Imro gagal menghantar sejumlah kren seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penjualan aset yang ditandatangani pada 25 Julai 2023.
Plaintif yang berpangkalan di Singapura itu menuntut pelbagai bentuk ganti rugi, termasuk pengisytiharan hak milik ke atas kren tersebut, RM674,028 sebagai alternatif kepada penghantarannya, RM18 juta sebagai ganti rugi atas kehilangan peluang, serta ganti rugi teladan dan teruk, menurut Handal Energy dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Deepetro juga memohon satu injunksi bagi menghalang defendan daripada menjual, menyewa atau melupuskan kren tersebut dengan apa-apa cara, serta faedah dan kos guaman.
Handal Energy berkata, mereka telah melantik peguam bagi membela diri dan kesan kewangan daripada saman tersebut, jika keputusan tidak memihak kepada syarikat, jumlah itu adalah terhad kepada jumlah yang dianugerahkan mahkamah dan perbelanjaan guaman yang ditanggung.
Dalam kes kedua, Handal Energy berkata, Unity Force Sdn Bhd telah menyerahkan petisyen penggulungan terhadap Handal Imro pada 10 Julai lalu. Petisyen itu dikemukakan pada 19 Jun di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.
Pempetisyen mendakwa, Handal Imro gagal atau enggan menyelesaikan jumlah tertunggak sebanyak RM255,384.56 setakat 16 Mei, susulan notis statutori selama 21 hari yang dikeluarkan pada 19 Mei.
Pengurusan kes bagi petisyen penggulungan ini dijadualkan pada 1 Ogos melalui semakan dalam talian (e-review) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, menurut makluman berasingan oleh Handal Energy.
Handal Energy seperti kes sebelum ini, melantik peguam untuk mencabar petisyen tersebut, dan menegaskan operasi syarikat kekal tidak terjejas.
Prestasi kewangan syarikat juga menunjukkan cabaran, apabila ia mencatatkan kerugian dalam tujuh daripada sembilan tahun kewangan yang lalu.
Bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 (3QFY25), kumpulan melaporkan kerugian bersih sebanyak RM1.86 juta dengan hasil sebanyak RM1.6 juta. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, syarikat merekodkan jumlah kerugian bersih sebanyak RM5.79 juta atas hasil RM6.65 juta.
Sehingga akhir Mac, Handal Energy mempunyai jumlah tunai sebanyak RM1.47 juta, manakala jumlah pinjaman syarikat adalah sebanyak RM14 juta.
Malakoff jalin kerjasama dengan Evergreen Earth teroka projek tenaga hijau di Sarawak.- DagangNews.com








