Greenyield jual tanah industri berharga RM8 juta di Banting kepada Filtermation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Greenyield jual tanah industri berharga RM8 juta di Banting kepada Filtermation

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Greenyield Bhd telah memeterai perjanjian penjualan sebidang tanah industri pegangan pajak berharga RM8 juta di Banting, Selangor kepada pengeluar penapis kartrij, Filtermation (MFG) Sdn Bhd.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat agro-teknologi itu berkata, pelupusan oleh anak syarikat milik penuh, Greenyield Industries (M) Sdn Bhd, itu sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan komposisi aset serta merealisasikan nilai tanah pegangan syarikat.

 

“Hasil daripada penjualan seluas 10,660 meter persegi itu akan digunakan sebagai rizab tunai serta bagi menambah baik nisbah keberhutangan dan semasa kumpulan.

 

“Sebahagian besar hasil iaitu RM7.56 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja dan rizab tunai, manakala selebihnya digunakan bagi membayar anggaran cukai keuntungan harta tanah sebanyak RM389,000 dan kos berkaitan transaksi berjumlah RM51,000,” katanya.

 

Menurut Greenyield, pelupusan tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, namun pemindahan hak milik hartanah mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atau agensi berkaitan.

 

Kumpulan menyasarkan pelupusan itu dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang tahun 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan keadaan semasa. - DagangNews.com