Google Pay kini boleh digunakan dengan ShopeePay, TNG eWallet di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Google Pay kini boleh digunakan dengan ShopeePay, TNG eWallet di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Pengguna di Malaysia kini boleh menikmati pengalaman pembayaran dalam talian yang lebih mudah dan pantas melalui kerjasama Google Pay dengan dua eWallet popular negara, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.

 

Ia membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran terus melalui Google Pay ketika membeli-belah dalam talian, tanpa perlu menukar aplikasi.


 
Semasa membuat pembayaran di laman web atau aplikasi peniaga yang menyokong Google Pay, pengguna hanya perlu memilih butang Google Pay atau 'eWallet' dalam pelayar Chrome untuk membayar menggunakan ShopeePay atau TNG eWallet (melalui rakan kongsi Alipay+).

 

Selain itu, pengguna kini boleh menambah nilai eWallet pilihan mereka terus dalam Google Pay.


  
Untuk pembayaran kali pertama, pengguna hanya perlu membuat pengesahan satu kali sahaja seperti melalui OTP. 

 

Pembayaran seterusnya boleh dibuat dengan satu klik sahaja, tanpa perlu menukar aplikasi.

 

Setiap transaksi juga memerlukan pengesahan cap jari atau PIN, menjadikan pembayaran lebih selamat.

 

Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan S. Qureshi berkata, pihaknya teruja memperkenalkan ciri baharu Google Pay itu di Malaysia memandangkan negara ini mempunyai ramai pengguna eWallet dengan sistem pembayaran digital yang semakin maju. 

 

"Dengan menggabungkan ShopeePay dan TNG eWallet ke dalam Google Pay, pengguna boleh membuat bayaran harian dengan lebih mudah dan selamat, terus di laman web mudah alih melalui Google Chrome.  

 

"Sebagai negara pertama di rantau ini yang menawarkan ciri ini, Malaysia wajar menjadi contoh kepada negara lain dalam inovasi pembayaran digital di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perkhidmatan terbaharu itu kini boleh dibuat peniaga dalam talian yang menyokong sistem pembayaran seperti Fiuu (Nando’s, US Pizza) dan iPay88 (Alpro Pharmacy, TK Bakery dan Yoyo Bus).

 

Bagi menggunakan perkhidmatan berkenaan, pengguna hanya perlu mengaktifkan Google Pay dan menyambungkannya dengan ShopeePay atau TNG eWallet. - DagangNews.com