KUALA LUMPUR 7 April - Hana Raja dilantik sebagai Pengurus Negara bagi perniagaan Google Cloud di Malaysia.
Beliau akan bekerjasama dengan pelbagai pasukan di seluruh Google untuk membantu organisasi tempatan dalam menerapkan teknologi cloud yang canggih, terutamanya yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI), dalam usaha mereka untuk melakukan transformasi digital.
Fokus utama adalah untuk membantu organisasi tempatan mentransformasi cara mereka bekerja, serta mempercepatkan penerapan teknologi cloud dan AI bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Pembinaan pusat data baru dan wilayah Google Cloud di Selangor juga telah dimulakan, menandakan komitmen berterusan Google untuk memperkuatkan infrastruktur digital negara.
Google juga telah memulakan pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi di Malaysia, termasuk pusat data baru yang sedang dibangunkan di Elmina Business Park, Selangor.
Pelaburan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Google untuk menyokong inisiatif digital Malaysia dan memperkuatkan daya saing negara di peringkat global.
Pelantikan Hana Raja, anak jati Kuala Lumpur ini merupakan langkah strategik untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan Google Cloud di Malaysia. Google Cloud melihat Malaysia sebagai pasaran yang sangat penting dalam rangkaian operasi mereka di Asia Tenggara.
Dengan pengalaman lebih 16 tahun dalam memberi nasihat strategik kepada organisasi besar dalam pelbagai industri, Hana dijangka akan memainkan peranan utama dalam membantu organisasi tempatan mentransformasi cara mereka beroperasi, serta merangka strategi untuk mendayakan AI dan cloud computing dalam memacu pertumbuhan yang mampan.
Selain itu, Google juga berharap dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian digital yang inovatif di sektor swasta dan awam.
Dalam peranan barunya, Hana Raja akan bekerja rapat dengan Serene Sia, Pengarah Negara Google Cloud untuk Malaysia dan Singapura, serta pasukan Google di seluruh dunia untuk menyelaraskan pelaksanaan strategi tempatan.
Serene Sia berkata, Hana menyertai kumpulan pada fasa yang menarik dalam pertumbuhan Google Cloud di Malaysia.
"Dengan pengalaman dan visi yang luas, Hana akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan kami, membantu organisasi tempatan berkembang dalam ekonomi digital yang dijangka bernilai AS$70 bilion menjelang 2030," katanya. - DagangNews.com








