KUALA LUMPUR 13 Jun - Sebanyak 5.4 juta isi rumah dalam kumpulan B40 dan M40, dijangka mendapat manfaat daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, peningkatan hasil kerajaan itu boleh meningkatkan bantuan kewangan seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Jumlah penerima SARA telah meningkat daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang sejak April lalu," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Free Malaysia Today.
Beliau berkata, kerajaan meluaskan pelaksanaan SST dengan tiga tujuan utama iaitu meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, mengurus kewangan negara dengan baik dan menyediakan dana tambahan untuk menghadapi cabaran ekonomi global.
Tambahnya, kerajaan telah mengambil langkah untuk melindungi golongan B40 dan M40 daripada kesan peluasan cukai berkenaan.
Antaranya, cukai hanya dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan yang tidak penting, manakala barangan keperluan harian kekal tanpa cukai.
Barangan asas seperti ayam, daging, sayur tempatan, beras, tepung, sardin, gula, roti, susu, minyak masak sawit, ubat dan buku masih tidak dikenakan SST.
Sebaliknya, barangan mewah seperti buah import, makanan laut mahal (salmon, ketam raja, ikan kod) dan makanan proses seperti jem akan dikenakan cukai SST sebanyak 5%.
Johan turut menyatakan harapan, pengecualian tersebut akan menggalakkan penggunaan hasil tempatan, termasuk buah-buahan.
Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga akan mempertingkat penguatkuasaan dan memantau harga barang di pasar raya serta kedai runcit bagi mengelakkan kenaikan harga tidak munasabah.
"Inisiatif seperti Jualan Rahmah dan Agro Madani akan terus membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan," jelasnya.
Johan pada masa sama menegaskan, kadar SST tetap sama pada 0%, 5% dan 10%, cuma lebih banyak barangan bukan keperluan akan dikenakan cukai 5% berbanding 0% sebelum ini.
Tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), pelaksanaan SST lebih disasarkan supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
Contohnya, cukai perkhidmatan berkaitan kerja dan pendidikan hanya dikenakan ke atas warga asing, termasuk yuran sekolah swasta yang melepasi had tertentu.
Peluasan SST itu adalah sebahagian daripada pelan reformasi fiskal jangka panjang di bawah Kerangka Ekonomi Madani, yang bertujuan menstruktur semula ekonomi negara dan meningkatkan kebajikan rakyat. - DagangNews.com








