Go Hub Capital cadang kumpul hingga RM21.2 juta menerusi penempatan persendirian biayai projek rel, terminal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Go Hub Capital cadang kumpul hingga RM21.2 juta menerusi penempatan persendirian biayai projek rel, terminal

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Jan – Penyedia rumusan teknologi pengangkutan, Go Hub Capital Bhd, bercadang untuk mengumpul sehingga RM21.2 juta menerusi penempatan persendirian melibatkan 10% daripada asas saham terbesarnya bagi membiayai empat projek baharu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata cadangan berkenaan melibatkan penerbitan sehingga 40 juta saham kepada pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian, dengan harga terbitan ditetapkan pada tarikh akan datang.

 

Anggaran hasil kutipan tersebut adalah berdasarkan harga terbitan ilustratif sebanyak 53 sen sesaham, yang mewakili diskaun kira-kira 8.6% berbanding purata wajaran volum lima hari saham Go Hub pada 58.01 sen sehingga 24 Disember lalu.

 

Go Hub ketika ini merupakan rakan teknologi kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi sistem tiket berpusat dan kutipan tambang automatik.

 

Menurut syarikat itu, sebanyak RM15 juta daripada hasil penempatan persendirian akan digunakan untuk membiayai projek baharu berkaitan rel dan terminal, RM6 juta bagi modal kerja manakala selebihnya untuk menampung perbelanjaan berkaitan.

 

Antara inisiatif yang dirancang termasuk penambahbaikan sistem tiket di lapan stesen rel di selatan serta di seluruh rangkaian rel melalui pemasangan mesin tiket layan diri, pintu akses dan terminal tempat jualan (POS) baharu.

 

Dana tersebut turut akan digunakan untuk meningkatkan operasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menerusi naik taraf kemudahan bagi menambah keselesaan dan kecekapan penumpang. 

 

Selain itu, sistem pengurusan barisan teksi akan dilaksanakan, merangkumi integrasi e-hailing, pintu penghadang pintar, aliran trafik yang lebih baik, kawasan menunggu teksi yang dipertingkat serta ruang menunggu penumpang yang dinaik taraf bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan keseluruhan.

 

Mengulas rasional cadangan itu, Go Hub berkata penempatan persendirian merupakan kaedah yang fleksibel dan kos efektif untuk mengumpul dana, meningkatkan kecairan serta fleksibiliti kewangan, mengurangkan tahap penggearan, mengelakkan kos faedah berkaitan pembiayaan hutang dan mengukuhkan asas modal kumpulan.

 

Ketika ini, Go Hub dikawal oleh ketua pegawai eksekutifnya, Tan Cherng Thong bersama isterinya, Lee Li Yee, yang memiliki pegangan sebanyak 53.5% melalui kenderaan pelaburan Go Hub Sdn Bhd. 

 

Selepas pelaksanaan penempatan persendirian itu, pegangan pasangan berkenaan dijangka berkurang kepada 48.6%. 

 

Tan juga memegang kepentingan langsung sebanyak 1.78%, yang akan berkurang kepada 1.62% selepas latihan tersebut. - DagangNews.com